Saturday, 31 October 2015

FAKTOR KEMEROSOTAN PELAJAR MALAYSIA DALAM TIMSS




Pelajar kurang komited terhadap Matematik dan Sains 

Pelajar pada masa kini adalah berpengetahuan luas dalam bidang teknologi dan lebih terdedah dengan banyak perkara menyebabkan mereka kurang komited dalm pelajaran. Menurut kajian yang dijalankan ,(Azizi, Jamaluddin, Boon, 2010) sikap komitmen pelajar terhadap matapelajaran Matematik mempunyai hubungkait dengan pencapaian Matematik mereka. Hasil tinjauan dari kajian tersebut mendapatikomitmen dan wawasan yang tinggi member ransangan dalam pencapaian akademik yang baik., walaupun tidak dinafikan bahawa terdapat juga pelajar yang memperoleh skor Matematik yang rendah.

Sikap negatif pelajar terhadap Matematik dan Sains 

Menurut Katz (1966), sikap adalah sesuatu yang mempengaruhi seseorang individu dalam memberi nilai terhadap simbol objek atau apa yang disukai atau tidak manakala ( Robbins, 2003) menyatakan bahawa sikap terbentuk dari pengalaman dan persepsi seseorang terhadap sesuatu perkara atau fenomena. Sikap adalah sesuatu yang berbentuk dalaman dan sukar untuk difahami. Ia adalah sesuatu yang tidak dapat dizahirkan secara terang dalam realiti kehidupan. Melalui sikap, manusia boleh mempelajari pelbagai ilmu baru untuk mempertingkatkan jati diri. Banyak kajian telah dilakukan untuk melihat faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran dan pencapaian pelajar-pelajar di sekolah. Antara faktor-faktor yang dapat dikesan itu, dan perlu diberi perhatian ialah berkait rapat dengan sikap pelajar. Antara faktor yang mempengaruhi sikap pelajar adalah suasana pembelajaran yang dilalui oleh pelajar itu sendiri. Jika suasana pembelajaran itu seronok dan menarik minat mereka, maka pelajar akan membentuk sikap yang positif terhadap matematik. Tetapi sebaliknya, sekiranya suasana pembelajaran adalah membosankan dan tidak menarik minat pelajar, maka sikap negatif secaa tidak langsung akan terbentuk dalam diri mereka. Faktor yang lain termasuklah rasa kebimbangan yang tinggi terhadap Matematik. Pelajar sudah terlebih dahulu menerapkan bahawa Matematik adalah subjek yang sukar kerana bimbang tidak dapat menyelesaikan masalah Matematik. Rasa kebombangan inilah yang akan mempengaruhi sikap pelajar terhadap Matematik.

Kekangan Bahasa 

Pada 1 September 2001 seorang pembentang kertas kerja telah mencadangkan supaya mata pelajaran Sains dan Matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris dari peringkat sekolah rendah dan perkara ini telah diketengahkan dalam Kongres Pendidikan Melayu. Kerajaan telah menyokong dasar ini dan mengarahkan sekolah-sekolah menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan dikenali dengan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Walaubagaimanapun Kongres Pendidikan Melayu Kedua telah meminta kerajaan mengkaji semula penggunaan Bahasa Inggeris untuk dua mata pelajaran itu. Ini berikutan kajian akademik yang mendapati 80 peratus atau setengah juta pelajar Melayu akan keciciran dalam kedua-dua pelajaran amnya dan Matematik khususnya. Pengerusi Jawatankusa Kongres Pendidikan Melayu Kedua ini, Tengku Razaleigh juga mengatakan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai kaedah pengajaran Matematik dan Sains telah menimbulkan banyak masalah kepada guru dan pelajar sejak ia dilaksanakan. 



Saturday, 17 October 2015

PERKEMBANGAN KURIKULUM MATEMATIK DI MALAYSIA

 


Pendidikan matematik awalan di Malaysia mementingkan kemahiran mengira mudah di sekolah rendah. Pendekatan yang serupa juga diguna pakai di sekolah menengah. Aritmetik, geometri dan algebra diajar secara terpisah-pisah tanpa sebarang usaha ke arah kesepaduan. Perbincangan berikut memperihalkan beberapa jawatankuasa utama yang telah menentukan hala tuju kurikulum matematik di Malaysia.

i.          Laporan Razak (1956)

Kurikulum pendidikan matematik yang rasmi hanya diguna pakai bermula 1956 selepas cadangan Penyata Razak supaya semua sekolah kerajaan berbuat sedemikian. Walau bagaimanapun, terdapat hanya sedikit perubahan tajuk pada kurikulum yang rasmi itu. Perubahan besar hanya berlaku selepas pelaksanaan Projek Khas pada 1970.

ii.         Laporan Projek Khas (1970)

Projek Khas Kementerian Pelajaran Malaysia bermula pada 1968 diterajui oleh En.Abu Hassan Ali. Objektif projek ini ialah untuk memperbaiki mutu pendidikan matematik dan sains supaya selaras dengan perkembangan matematik moden di negara-negara maju.  Bahan-bahan pengajaran-pembelajaran direka cipta oleh pensyarah dan guru yang telah dilatih di luar negara.  Hanya terdapat sedikit perubahan kandungan matematik sekolah rendah pada Projek Khas ini. Walau bagaimanapun, strategi serta kaedah berpusatkan guru diperkenalkan. Kaedah inkuiri-penemuan digalakkan.  Program ini telah diubahsuai dan diperkenalkan ke semua sekolah rendah dari masa ke semasa sehingga ianya digantikan dengan Matematik KBSR.

iii.        Program Matematik Moden (1970)

Program Matematik Moden diperkenalkan ke sekolah rendah dan menengah pada awal tahun 70an. Tujuan utama program ini ialah memperkenalkan tajuk-tajuk moden di ketika itu seperti teori set, statistik dan vektor yang dipermudahkan. Selain itu, pendekatan tradisi digantikan dengan kaedah semasa.  Sukatan Matematik Moden dirancang oleh Panitia Kurikulum Matematik yang ditubuhkan pada 1969. Sukatan berkenaan dirancang selepas diadakan kajian terhadap kurikulum British School Mathematics Project (SMP) dan Scottish Mathematics Group (SMG). Panitia berkenaan memilih sukatan SMG kerana ianya lebih sesuai bagi murid pelbagai kebolehan di sekolah menengah rendah.  Pada 1972, topik-topik SMP telah diguna pakai bagi pendidikan matematik di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 kerana panitia berkenaan mendapati bahawa ianya lebih sesuai bagi tujuan peperiksaan Sukatan Matematik.  Dua buah buku teks iaitu Matematik Moden Tingkatan Empat dan Matematik Moden Tingkatan Lima telah diterbitkan pada 1974 dan 1975.  Seterusnya, kedua-dua sukatan menengah rendah dan menengah atas iaitu Sukatan Matematik Moden Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima telah disatukan pada 1978.  Satu pertiga daripada Sukatan Matematik Moden mengandungi topik-topik baru seperti sistem pernomboran, pemetaan, transformasi geometri, matriks dan statistik.  Strategi pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid dan bahan manipulasi terus digalakkan.

iv.        Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) (1983)
KBSR dilaksanakan pada tahun 1983 berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan (1979).  Melaluinya, kurikulum matematik telah mengalami perubahan yang besar daripada Kurikulum Matematik Moden.  Perubahan utama ialah mengurangkan kandungan matematik supaya menjadi lebih sesuai dengan kebolehan murid. Sukatan pelajaran dibahagi kepada dua iaitu Aras I dan Aras II.  Aras I (Tahun 1 – Tahun 3) mementingkan penguasaan terhadap konsep-konsep asas penomboran serta pelaksanaan empat operasi asas matematik (+, -, ÷ dan x).  Aras II (Tahun 4 – Tahun 6) pula mementingkan aplikasi kemahiran operasi asas serta penyelesaian masalah matematik.  Kurikulum ini bertujuan untuk menyediakan peluang yang sama bagi semua murid untuk memperoleh pengetahuan, kemahiran, sikap, peraturan serta amalan sosial masyarakat yang baik. Matematik KBSR ini bertujuan untuk mengembangkan kemahiran mengira di kalangan murid. Mereka perlu juga menguasai kemahiran-kemahiran asas matematik.

v.         Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (1994)

Kurikulum Baru Sekolah Rendah ditukar kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah pada tahun 1994.  Manakala kurikulum matematik sekolah menengah juga mengalami perubahan daripada  Kurikulum Baru Sekolah Menengah (1989) kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah pada tahun 1998.  Perubahan yang dibuat adalah selaras dengan kehendak dan cita-cita murni yang terkandung dalam  Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1994.  Matlamat utama Pendidikan Matematik dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah  bertujuan untuk memudahkan pelajar membina konsep nombor dan menguasai kemahiran asas mengira.  Dengan ini, diharapkan pelajar dapat menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian dengan berkesan. Berasaskan pengetahuan matematik yang diperolehi, pelajar seharusnya  boleh menguruskan aktiviti harian mereka dengan lebih sistematik.  Ini dapat membantu mereka untuk terus maju dan melanjutkan pelajaran di masa akan datang dan menyumbang kepada pembentukan modal insane yang diperlukan untuk membangunkan masyarakat dan negara. (Sukatan Matematik Sekolah Rendah: April 1993)

vi.        Sukatan Matematik Sekolah Rendah (1998)

Berikutan pelancaran Sekolah Bestari (1995) dan memenuhi keperluan IT (Teknologi Maklumat) seperti yang terdapat dalam cabaran visi 2020, sukatan matematik telah disemak semula. Semakan sukatan matematik pada tahun 1998 mempastikan pelajar menguasai kemahiran asas matematik dan dapat menggunakannya dalam situasi harian sepenuhnya. Jawatankuasa yang berkenaan telah mengagihkan kemahiran belajar yang diperlukan kepada sembilan tajuk utama.  Bagi setiap tajuk, kemahirannya disusun dari mudah kepada susah secara hiraki. Tajuk- tajuknya ialah nombor bulat dan operasi asas, pecahan dan operasi asas, perpuluhan dan operasi asas, wang, ukuran panjang dan berat, ruang, purata, peratus dan graf.
Pengubahsuaian dan perubahan yang berlaku dalam perkembangan kurikulum pendidikan matematik bukan hanya bertujuan untuk menambahbaik dan menyelesaikan kelemahan yang terdapat dalam kurikulum terdahulu malahan merupakan tuntutan untuk merealisasikan objektif dan aspirasi seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Visi  2020.

Pada bulan Januari 2003, Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah mula dilaksanakan untuk pelajar Tingakatan 1, 4 dan 6 rendah. Dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, perubahan ini bertujuan supaya pelajar dapat mengakses maklumat untuk tujuan pembelajaran dengan mudah, seiring dengan perkembangan teknologi maklumat.



Friday, 16 October 2015

OBJEKTIF PENDIDIKAN MATEMATIK




Secara umumnya pendidikan Matematik memberi penekanan kepada perkembangan pelajar yang menyeluruh termasuk perkembangan kognitif, sikap dan psikomotor serta memupuk nilai-nilai murni untuk menjadi rakyat yang berguna selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.Untuk mencapai matlamat dan tujuan pendidikan Matematik, kita haruslah memberikan perhatian dalam pengajaran dan pembelajaran di mana penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran yang aktif dan menunjukkan minat yang bersungguh-sungguh.

Matematik merupakan suatu mata pelajaran yang penting dan juga merupakan satu mata pelajaran yang mencabar bagi kebanyakan pelajar. Matematik memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian. Guru dan ibu bapa perlu menunjukkan sikap yang positif terhadap Matematik kerana ia juga akan memberi kesan kepada sikap anak-anak mereka. Mempunyai guru yang menunjukkan minat terhadap Matematik akan mendorong pelajar untuk meminati Matematik. Guru perlu meyakinkan pelajar bahawa semua orang boleh maju dalam Matematik. Biasanya minat pelajar menggambarkan sikap dan aspirasi yang ditunjukkan oleh guru. Guru perlu melibatkan diri dalam pembelajaran pelajar dan perlu menampakkan bahawa mereka berminat dalam pembelajaran pelajar mereka.

Ibu bapa pula tidak perlu hebat dalam pemahaman dan pencapaian Matematik untuk membantu anak mereka, dan tidak semestinya mereka harus tahu semua jawapan kepada masalah Matematik. Apa yang penting, mereka perlu pendekatan dengan anak semasa anak mereka melakukan kerja rumah. Ada kemungkinan juga mereka dapat membantu sekiranya anak-anak menanyakan soalan dengan memberi sedikit petunjuk atau cadangan tentang kerja rumah mereka atau menjelaskan apa yang dikehendaki tanpa memberikan jawapan yang sebenarnya. Kadangkala ibu bapa tidak pasti apa yang dikehendaki oleh soalan tetapi mereka boleh cuba memahami masalah yang dikemukakan dengan membaca dan mengulangi semula. Hal ini mungkin dapat memberi gambaran tentang apa yang perlu dilakukan. Bagi anak yang telah bersekolah, ibu bapa bolehlah sentiasa bertemu bual atau bertanyakan kepada guru yang mengajar anak mereka. Meraka boleh bertanya tentang pembelajaran dan sikap anak mereka terhadap pembelajaran di sekolah. Mereka juga boleh menanyakan guru tersebut tentang bagaimana mereka dapat membantu anak-anak di rumah bagi memperkukuhkan kemahiran Matematik. Komunikasi secara berterusan antara ibu bapa dan guru biasanya banyak membantu sekiranya anak-anak memerlukan sokongan untuk maju dalam Matematik. Hal ini sejajar dengan matlamat dan tujuan pendidikan Matematik.

Bagi sekolah-sekolah di Malaysia, Matematik dianggap sebagai satu bidang ilmu yang melatih minda supaya berfikir secara mantik dan bersistem dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1988). Berpegang kepada pandangan tersebut, kurikulum Matematik peringkat sekolah bertujuan membentuk pelajar yang berpemikiran mantik secara berkesan dan bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan supaya berupaya menangani cabaran dalam era maklumat.

Kandungan kurikulum Matematik meliputi pengetahuan dan kemahiran Matematik yang sesuai dengan keupayaan murid serta relevan dengan keperluan dalam era maklumat. Selain pengetahuan dan kemahiran Matematik, pemupukan sikap dan nilai juga disarankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Kemahiran Matematik yang dinyatakan dalam kurikulum Matematik sekolah adalah seperti berikut.
  1. Melakukan operasi asas.
  2. Membuat anggaran dan penghampiran.
  3. Mengukur.
  4. Mengendali data.
  5. Mewakili maklumat dalam bentuk graf dan carta.
  6. Mengenal perkaitan dan mewakilinya secara Matematik.
  7. Menggunakan algoritma dan perkaitan.
  8. Menyelesaikan masalah.
Maka untuk mencapai matlamat dan tujuan pendidikan, guru dan masyarakat perlu mengambil tahu tentang perkembangan kurikulum dan perkara-perkara yang diberi penekanan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Tujuan pendidikan Matematik adalah untuk mendedahkan kepada guru dan pelajar tentang kaedah, kemahiran dan keterangan dalam Matematik. Setiap proses ini hedaklah dibincangkan mengikut turutan dan diterangkan secara teliti dan tepat. Matlamat dan tujuan ini boleh dicapai apabila semua potensi diri pelajar telah dikembangkan secara menyeluruh dan seimbang. Insan yang seimbang akan sentiasa bersyukur, bersedia menerima segala ujuan dan cabaran dalam menyelesaikan masalah serta berikhtiar untuk mengatasi masalah yang dihadapi dengan tenang.

Dalam soal merancang penerangan matlamat dan tujuan pendidikan Matematik tersebut, kita haruslah mengetahui dengan jelas tentang apa yang diharapkan oleh masyarakat. Setelah mengetahui matlamat dan tujuan, kita bolehlah memikirkan syarat-syarat yang perlu diambil kira seperti berikut:

1. Pendidikan Matematik di Malaysia merupakan satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu sera menyeluruh dan bersepadu dalam matematik.

2. Usaha untuk melahirkan rakyat Malaysai yang berilmu pengetahuan dalam Matematik.

3. Berupaya mengintegrasi dan memindahkan perlakuan kepada keadaan yang baru.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, Matematik telah dikenal passti mengandungi kekuatan dan kekurangan serta halangan dalam proses pengajaran yang dijalankan dalam sesuatu bilik darjah. Kadangkala kaedah pengajaran yang diguna akan menyebabkan proses pembelajaran menjadi lembap dan pasif serta bertumpu kepada guru semata-mata. Memandangkan sekolah merupakan medan ilmu untuk pelajar menimba ilmu pengetahuan maka wajarlah bagi guru menyediakan satu situasi pengajaran dan pembelajaran yang cukup berkesan. Salah satu perkara yang perlu ditekankan oleh para guru, terutamanya di bidang Matematik ialah apakah cara yang sesuai untuk menggalakkan penglibatan pelajar secara aktif dalam pembelajaran masing-masing.