Friday, 16 October 2015

OBJEKTIF PENDIDIKAN MATEMATIK




Secara umumnya pendidikan Matematik memberi penekanan kepada perkembangan pelajar yang menyeluruh termasuk perkembangan kognitif, sikap dan psikomotor serta memupuk nilai-nilai murni untuk menjadi rakyat yang berguna selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.Untuk mencapai matlamat dan tujuan pendidikan Matematik, kita haruslah memberikan perhatian dalam pengajaran dan pembelajaran di mana penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran yang aktif dan menunjukkan minat yang bersungguh-sungguh.

Matematik merupakan suatu mata pelajaran yang penting dan juga merupakan satu mata pelajaran yang mencabar bagi kebanyakan pelajar. Matematik memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian. Guru dan ibu bapa perlu menunjukkan sikap yang positif terhadap Matematik kerana ia juga akan memberi kesan kepada sikap anak-anak mereka. Mempunyai guru yang menunjukkan minat terhadap Matematik akan mendorong pelajar untuk meminati Matematik. Guru perlu meyakinkan pelajar bahawa semua orang boleh maju dalam Matematik. Biasanya minat pelajar menggambarkan sikap dan aspirasi yang ditunjukkan oleh guru. Guru perlu melibatkan diri dalam pembelajaran pelajar dan perlu menampakkan bahawa mereka berminat dalam pembelajaran pelajar mereka.

Ibu bapa pula tidak perlu hebat dalam pemahaman dan pencapaian Matematik untuk membantu anak mereka, dan tidak semestinya mereka harus tahu semua jawapan kepada masalah Matematik. Apa yang penting, mereka perlu pendekatan dengan anak semasa anak mereka melakukan kerja rumah. Ada kemungkinan juga mereka dapat membantu sekiranya anak-anak menanyakan soalan dengan memberi sedikit petunjuk atau cadangan tentang kerja rumah mereka atau menjelaskan apa yang dikehendaki tanpa memberikan jawapan yang sebenarnya. Kadangkala ibu bapa tidak pasti apa yang dikehendaki oleh soalan tetapi mereka boleh cuba memahami masalah yang dikemukakan dengan membaca dan mengulangi semula. Hal ini mungkin dapat memberi gambaran tentang apa yang perlu dilakukan. Bagi anak yang telah bersekolah, ibu bapa bolehlah sentiasa bertemu bual atau bertanyakan kepada guru yang mengajar anak mereka. Meraka boleh bertanya tentang pembelajaran dan sikap anak mereka terhadap pembelajaran di sekolah. Mereka juga boleh menanyakan guru tersebut tentang bagaimana mereka dapat membantu anak-anak di rumah bagi memperkukuhkan kemahiran Matematik. Komunikasi secara berterusan antara ibu bapa dan guru biasanya banyak membantu sekiranya anak-anak memerlukan sokongan untuk maju dalam Matematik. Hal ini sejajar dengan matlamat dan tujuan pendidikan Matematik.

Bagi sekolah-sekolah di Malaysia, Matematik dianggap sebagai satu bidang ilmu yang melatih minda supaya berfikir secara mantik dan bersistem dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1988). Berpegang kepada pandangan tersebut, kurikulum Matematik peringkat sekolah bertujuan membentuk pelajar yang berpemikiran mantik secara berkesan dan bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan supaya berupaya menangani cabaran dalam era maklumat.

Kandungan kurikulum Matematik meliputi pengetahuan dan kemahiran Matematik yang sesuai dengan keupayaan murid serta relevan dengan keperluan dalam era maklumat. Selain pengetahuan dan kemahiran Matematik, pemupukan sikap dan nilai juga disarankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Kemahiran Matematik yang dinyatakan dalam kurikulum Matematik sekolah adalah seperti berikut.
  1. Melakukan operasi asas.
  2. Membuat anggaran dan penghampiran.
  3. Mengukur.
  4. Mengendali data.
  5. Mewakili maklumat dalam bentuk graf dan carta.
  6. Mengenal perkaitan dan mewakilinya secara Matematik.
  7. Menggunakan algoritma dan perkaitan.
  8. Menyelesaikan masalah.
Maka untuk mencapai matlamat dan tujuan pendidikan, guru dan masyarakat perlu mengambil tahu tentang perkembangan kurikulum dan perkara-perkara yang diberi penekanan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Tujuan pendidikan Matematik adalah untuk mendedahkan kepada guru dan pelajar tentang kaedah, kemahiran dan keterangan dalam Matematik. Setiap proses ini hedaklah dibincangkan mengikut turutan dan diterangkan secara teliti dan tepat. Matlamat dan tujuan ini boleh dicapai apabila semua potensi diri pelajar telah dikembangkan secara menyeluruh dan seimbang. Insan yang seimbang akan sentiasa bersyukur, bersedia menerima segala ujuan dan cabaran dalam menyelesaikan masalah serta berikhtiar untuk mengatasi masalah yang dihadapi dengan tenang.

Dalam soal merancang penerangan matlamat dan tujuan pendidikan Matematik tersebut, kita haruslah mengetahui dengan jelas tentang apa yang diharapkan oleh masyarakat. Setelah mengetahui matlamat dan tujuan, kita bolehlah memikirkan syarat-syarat yang perlu diambil kira seperti berikut:

1. Pendidikan Matematik di Malaysia merupakan satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu sera menyeluruh dan bersepadu dalam matematik.

2. Usaha untuk melahirkan rakyat Malaysai yang berilmu pengetahuan dalam Matematik.

3. Berupaya mengintegrasi dan memindahkan perlakuan kepada keadaan yang baru.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, Matematik telah dikenal passti mengandungi kekuatan dan kekurangan serta halangan dalam proses pengajaran yang dijalankan dalam sesuatu bilik darjah. Kadangkala kaedah pengajaran yang diguna akan menyebabkan proses pembelajaran menjadi lembap dan pasif serta bertumpu kepada guru semata-mata. Memandangkan sekolah merupakan medan ilmu untuk pelajar menimba ilmu pengetahuan maka wajarlah bagi guru menyediakan satu situasi pengajaran dan pembelajaran yang cukup berkesan. Salah satu perkara yang perlu ditekankan oleh para guru, terutamanya di bidang Matematik ialah apakah cara yang sesuai untuk menggalakkan penglibatan pelajar secara aktif dalam pembelajaran masing-masing.


No comments:

Post a Comment