Thursday, 24 December 2015

BEZA DAN BANDINGAN KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN TRADISIONAL (TANPA PENGGUNAAN ICT ) DENGAN KAEDAH PENGAJARAN PEMBELAJARAN MENGGUNAKAN KOMPUTER


vs


KE ARAH PROSES PENGAJARAN BERKESAN

Arus perkembangan semasa menuntut kepada perubahan dari segenap aspek mahupun lapangan kehidupan umum. Perubahan positif merupakan anjakan yang perlu dihasilkan bagi mewujudkan kedinamikan untuk menghadapi cabaran-cabaran baru seiring perkembangan semasa. Justeru, pendidikan masakini perlu kepada pembaharuan bagi merealisasikan proses pembentukan dan pengembangan potensi diri yang patut disalurkan kepada para pelajar. Bagi tujuan tersebut penelitian terhadap aspek pengajaran khususnya dalam bilik darjah menjadi asas pencapaian kecemerlangan akademik buat para pelajar.

Dalam pendidikan formal, proses pengajaran menjadi elemen terpenting bagi mencapai keberkesanan isi pelajaran yang disampaikan. Proses pengajaran berkesan akan hanya dicapai menerusi pendekatan, kaedah dan teknik yang bersesuaian oleh seorang guru untuk mencapai objektif pengajarannya terhadap isi pelajaran yang disampaikan. Hal ini melibatkan kemahiran serta penguasaan penuh guru terhadap pelajaran yang disampaikan. Persediaan mantap berkaitan kemahiran dalam proses pengajaran oleh seorang guru membolehkannya menjalankan proses P&P dengan penuh keyakinan dan semangat tinggi. Dengan demikian, guru akan dapat memberikan sepenuh komitmen dan kesungguhan yang tinggi untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada para pelajar.

Sharifah Alwiah Alsagoff (1983) menyatakan bahawa pengajaran yang berkesan adalah merujuk kepada guru yang dapat membawa pelajar kepada hasil pembelajaran terakhir yang diinginkannya. Hal ini melibatkan corak pengajaran bersturktur dari segi organisasi bilik darjah serta mementingkan isi pelajaran. Selain itu, ia juga merujuk kepada perihal pengajaran guru yang lebih memusatkan kepada para pelajarnya sehingga mereka tertarik mengikuti aktiviti pembelajaran. Oleh itu, pembentukan proses pengajaran berkesan mempunyai nilai yang berbeza-beza namun ia masih bermatlamat untuk melihat hasil daripada isi pelajaran yang disampaikan. 

Mewujudkan proses pengajaran yang berkesan memerlukan kepada komitmen guru sepenuhnya. Ia melibatkan perancangan dan strategi serta kemahiran guru yang padu dalam mengorganisasi proses P&P bilik darjah. Langkah awal dalam membentuk satu proses pengajaran yang berkesan adalah dengan menilai pertindanan domain kognitif, afektif dan psikomotor yang menjadi dasar objektif proses P&P. Guru seharusnya memerlukan segala persediaan yang rapi meliputi pengetahuan dan kemahiran penyampaian isi pelajaran agar membuka minda dan minat pelajar. Dengan itu, terbentuklah suasana pembelajaran yang melibatkan tindak balas positif dan tingkah laku aktif para pelajar. Selain itu, interaksi sosial guru dan pelajar merupakan sebahagian daripada beberapa faktor ke arah keberkesanan pengajaran. 

Hubungan dua hala (guru-pelajar) yang baik perlu diwujudkan oleh setiap guru agar masalah berkaitan pelajar dapat diselesaikan seterusnya para pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap proses P&P. Adalah menjadi keutamaan dalam proses pengajaran untuk mengelakkan daripada berlakunya penyertaan pasif dikalangan pelajar disebabkan kurangnya perhatian dan fokus serta ketidakselesaan mereka semasa mengikuti proses P&P. justeru, guru berperanan memberikan motivasi agar para pelajar dapat mengikuti segala maklumat pengetahuan yang disampaikan sepenuhnya. Penggunaan bahan-bahan pengajaran yang bersesuaian dengan kandungan pelajaran turut menyumbang kepada keberkesanan proses pengajaran. 

Menurut Atan Long (1982) bahawa sesuatu alat penyampaian terutama alat yang baru bagi pengalaman pelajar akan dapat menimbulkan minat dan seterusnya menggerakkan pelajar-pelajar untuk belajar. Sehubungan itu, penyediaan bahan pengajaran yang bertepatan dengan isi pelajaran akan membawa dimensi baru dalam pembelajaran para pelajar bagi meningkatkan lagi kefahaman mereka. Seiring perkembangan semasa, proses pengajaran memerlukan satu usaha yang dapat menjana perkembangan proses pembelajaran pelajar. Kedinamikan proses pengajaran melalui daya kreativiti mahupun penggunaan teknologi masakini menjadi asas ke arah melahirkan amalan proses pengajaran berkesan. Seterusnya hal ini akan menjadikan proses P&P di sekolah dapat memberi sumbangan sepenuhnya kepada pencapaian kecemerlangan para pelajar serta memperkasakan lagi sistem pendidikan sedia ada.



PENGGUNAAN TEKNOLOGI KOMPUTER DALAM PENGAJARAN

Pendidikan masa kini berkembang seiring dengan kepesatan sains dan teknologi. Kelahiran bidang teknologi maklumat (ICT) melalui sistem pengkomputeran sebagai wadah baru era globalisasi telah mempertingkat usaha penyebaran ilmu kepada generasi baru dan masyarakat umum di seantero dunia. Melalui kepesatan dan perkembangan bidang pengkomputeran, aliran akademik semasa juga turut melebarkan lagi gerbang ilmiahnya menerusi capaian kepantasan kuasa teknologi ini . Khususnya dalam bidang pendidikan, penggunaan teknologi pengkomputeraan dalam proses pengajaran sememangnya memberi implikasi baru yang lebih efektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sekaligus menyumbang kepada kelancaran dan kedinamikan dalam lapangan pendidikan. 

Ledakan teknologi pengkomputeran dalam dunia pendidikan tidak dinafikan merupakan sebahagian daripada faktor yang turut menyumbang ke arah kemajuan dan prestasi di kalangan guru dan pelajar. Penggunaan teknologi komputer dalam bidang pendidikan dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu sebagai alat pentadbiran, alat penyelidikan dan media pengajaran-pembelajaran (V. Pang, Y.K Yap dan Y.M. Tam, 1992). Jelas bahawa penggunaan komputer secara meluas telah memudahkan kerja-kerja mentadbir dan mengurus bahkan sebagai instrumen yang dapat membantu ke arah mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran berkesan. 

Proses pengajaran dengan mengaplikasikan teknologi komputer seperti power point, internet, online, website dan sebagainya dapat membantu para guru untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran disamping dapat membantu mempertingkatkan keberkesanan pembelajaran sekiranya ia dilaksanakan dengan teliti dan terancang . justeru, kebolehan guru dalam mengaplikasikan teknologi ini akan memberi nafas baru terhadap proses pembelajaran pelajar yang akan meningkatkan dan meluaskan pemerolehan ilmu pengetahauan dikalangan mereka. Kecenderungan penggunaan teknologi penkomputeran dalam pendidikan telah mewujudakan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PBK). Ia juga dikenali sebagai Computer Aided Instruction (CAI). Sistem ini telah mewujudkan inovasi dalam proses P&P dikalangan guru dan pelajar. Pengajaran berasaskan sistem ini adalah dalam bentuk tutorial elektronik, latih tubi, simulasi dan penilaian pengetahuan pelajar seperti kuiz dan sebagainya. Pembentukan sistem pembelajaran seperti ini melibatkan perkakasan-perkakasan teknologi komputer seperti bahan kursus dan perisian. 

Bahan kursus adalah hasil dariapada perancangan isi dan strategi PBK berdasarkan objektif pengajaran dan kumpulan sasaran yang telah dipindahkan (diprogramkan) dalam bentuk yang dapat difahami komputer. Manakala perisian pula adalah sesuatu aturcara yang mengandungi arahan-arahan untuk melaksanakan sesuatu tugasan pada komputer berdasarkan permintaan pengguna. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Yusri Mat Johor (2004) mendapati 92.5% daripada 40 orang guru sejarah di 12 buah sekolah menengah dalam daerah Bentong, Pahang bersetuju bahawa penggunaan komputer dapat meningkatkan minat pelajar terhadap pengajaran sejarah. Hal ini menunjukkan peggunaan komputer bukan sahaja berdasarkan kelebihan internet, malahan dalam proses pengajaran yang menggunakan aplikasi teknologi komputer dapat menggabungkan elemen-elemen teks, grafik/visual, audio, video dan animasi untuk membolehkan proses pengajaran menjadi lebih kreatif dan hidup. Di samping itu, terdapat juga sistem yang melibatkan penggunaan teknologi komputer dalam proses pengajaran. 

Pembelajaran Diuruskan Komputer (PDK) atau Computer Managed Instruction (CMI) berperanan dalam menguruskan hal-hal pengajaran. Ini merujuk kepada penggunaan komputer yang membantu guru memainkan peranan sebagai pengurus pengajaran dan pembelajaran. Dengan kata lain, komputer bertindak dalam mengawal (monitors) pembelajaran dan kemajuan pelajar dengan mentadbirkan pelajaran serta ujian berasaskan komputer, menyimpan rekod pencapaian dan menjanakan laporan prestasi mereka untuk rujukan guru dan pelajar itu sendiri. Oleh itu, sistem ini telah memberi kemudahan dalam mengorganisasi pengurusan pelajar seterusnya menjadikan proses P&P lebih sistematik dan efisien. 

Kepesatan dan perkembangan teknologi komputer menerusi jaringan tanpa sempadan (internet) juga memberi manfaat bagi menambahkan lagi sumber-sumber maklumat pengetahuan. Menerusi teknologi jalur lebar ini pelbagai disiplin ilmu telah dimuatkan untuk memudahkan pengaksesaan di merata tempat. Secara langsung, para guru yang dapat mengaplikasikan kemudahan ini akan dapat memperkenalkan pelajar-pelajarnya menerokai maklumat-maklumat terkini yand dapat diterapkan dalam isi pelajaran yang ingin disampaikan. Kemajuan teknologi komputer pada era kini sebagai wahana proses P&P dapat mempertingkatkan dan memperkembang proses pengajaran yang berkesan ke arah membentuk generasi celik minda dan penguasaan terhadap kandungan pelajaran.


MASALAH-MASALAH BERKAITAN PENGGUNAAN KOMPUTER DALAM
PENGAJARAN

Penggunaan teknologi komputer dalam proses pengajaran sememangnya mendatangkan banyak manfaat bagi proses pembelajaran pelajar. Namun disebalik itu, tidak dinafikan wujudnya masalah-masalah yang menjadi kekangan bagi memanipulasikan akan adanya kemudahan ini. Yusri Mat Johor (2004) mengemukakan masalah penggunaan komputer di sekolah yang masih pada tahap kritikal dan sukar untuk diatasi adalah seperti berikut:

1) Bilangan komputer

Bilangan peruntukan komputer yang disalurkan bagi sesebuah sekolah masih tidak mencukupi untuk memaksimumkan penggunaan komputer sebagai medium pengajaran bagi para pelajar.

2) Kos pembelian dan pengurusan komputer

Berkaitan hal ini, kos yang tinggi untuk mendapatkan komputer dan kerja-kerja pengurusan yang melibatkan kemahiran tertentu menjadi faktor penghalang bagi menjayakan penggunaan teknologi komputer sepenuhnya dalam proses pengajaran. Oleh itu, adalah lebih baik kos yang sedia ada dipergunakan untuk tujuan lain yang dapat menambah baik kemudahan sekolah bagi memberi keselesaan bagi para guru dan pelajar. 

3) Keberkesanan penggunaan komputer 

Keberkesanan penggunaan komputer dalam proses pengajaran sememangnya menjadi kemudahan bagi para guru dan pelajar. Namun, hal ini memerlukan penguasaan guru terhadap segala aplikasi komputer untuk dimuatkan dalam menghasilkan sesuatu proses pengajaran. Sekiranya, bahan yang dihasilkan menerusi komputer tidak dapat menarik para pelajar untuk mengikuti isi pelajaran maka segala usaha guru dianggap tidak berbaloi bahkan menyebabkan pembaziran masa. 

4) Kemahiran guru dalam mengendalikan komputer 

Penggunaan komputer memerlukan kemahiran untuk mengendalikannya. Justeru, bagi mengaplikasikan teknologi ini dalam proses pengajaran menuntut kepada kemahiran daripada guru itu sendiri. Tegasnya, hanya terdapat sebilangan kecil sahaja di kalangan para guru yang dapat mengendalikan dan menguasai aplikasi komputer ini sepenuhnya. Oleh itu, kurangnya kemahiran yang dimiliki oleh para guru gagal memberi manfaat penuh kepada proses pengajaran yang melibatkan penggunaan komputer. Tegasnya, penggunaan teknologi pengkomputeran dalam proses pengajaran bukanalah suatu yang mudah untuk dilaksanakan walaupun ia dilihat berpotensi dalam mempertingkatkan lagi proses P&P. sehubungan itu, kebergantungan sepenuhnya dengan teknologi ini perlu dinilai dengan sewajarnya agar semua kelompok dalam sistem pendidikan mendapat manfaat yang sama sekaligus mengurangkan jurang pengetahuan di antara para pelajar bandar dan luar bandar.


KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN TRADISIONAL

Menjadikan proses pembelajaran berkesan dalam setiap sesi pengajaran isi pelajaran menjadi fokus utama bagi setiap pendidik. Suasana pembelajaran yang dilatari keceriaan dan keharmonian proses pengajaran menjadi pemangkin ke arah mencapai objektif pelajaran yang telah dirancangkan. Sehubungan itu, guru sebagai individu persuatif kepada pelajar memainkan peranan penting bagi mewujudkan suatu bentuk proses P&P yang mampu memberi daya tarikan di kalangan para pelajar. Tegasnya, kemahiran dalam proses pengajaran oleh seorang guru yang ditunjangi daya kreativiti menjadi asas utama berhubung isu ini. Kreativiti dapat difahami sebagai sesuatu yang dibuat dan dihasilkan oleh individu-individu kreatif dengan menggunakan daya imaginasi dan pemikiran mereka untuk menghasilkan sesuatu yang baru, kreatif dan berguna bagi manusia (Jauhara Hj. Tak, 1995). Hal ini merujuk kepada kebolehan serta kemahiran yang dapat dimanipulasi untuk menghasilkan sesuatu yang asli, bermutu dan berkualiti tinggi. Oleh itu, penghasilan satu bentuk pengajaran melalui daya kreativiti disifatkan sebagai satu wadah pembelajaran yang memberi kesan ke atas satu-satu isi pelajaran. Justeru, adanya daya kreativiti bagi seorang guru yang dapat disesuaikan dengan proses pengajarannya akan menghidupkan lagi suasana dan meransang penyertaan pelajar dalam aktiviti pembelajaran. 

From (1959) mengemukakan berkenaan individu kreatif sebagai seorang yang selalu melihat kepada yang baru. Oleh itu , individu seperti ini akan memperlihatkan sifat kedinamikan dalam setiap tingkah laku dan juga pemikirannya. Dalam konteks keguruan kreativiti berperanan sebagai momentum yang akan menghasilkan satu proses pengajaran berkesan seterusnya menjadi asas ke arah merealisasikan kecemerlangan akademik pelajar. Sementara itu, Robiah Sidin dan Hassan Langgulung (1980) mengemukakan Kreativiti bagi seorang guru merupakan elemen yang dapat dipergunakan untuk menghasilkan satu bentuk pengajaran dinamik. Para guru yang memiliki daya kreatif seringkali mendatangkan banyak idea baru selain dapat mengatasi masalah dengan menggunakan bahan-bahan serta situasi-situasi tertentu dengan cara luar biasa. Jelaslah bahawa sekiranya daya kreativiti ini dapat dijelmakan dalam proses pengajaran oleh seorang guru maka proses pembelajaran pelajar-pelajarnya akan mendapat limpahan maklumat pengetahuan maksimum.

Kemantapan proses pengajaran menerusi adunan kaedah, teknik dan pendekatan kreatif oleh seorang guru menjanjikan suatu proses pembelajaran yang menarik minat pelajar dalam mengikuti isi pelajaran yang disampaikan oleh guru tersebut. Seterusnya, kreativiti guru yang mewarnai proses pengajarannya akan menjadikan suasana pembelajaran yang kondusif selain membuka ruang untuk pelajar dalam memahami sepenuhnya isi pelajaran yang disampaikan dan sentiasa mengingati terhadap apa yang telah mereka pelajari itu. Malahan kreativiti guru tersebut juga secara langsung menanam nilai murni kepada pelajar supaya melahirkan sesuatu yang berinovasi dalam pemikiran mereka. Di samping itu, penghasilan proses pengajaran berkesan juga meliputi hubungan dua hala antara guru dan murid. Bagi menjamin kelangsungan setiap isi pelajaran yang disampaikan hubungan ini akan merangsang tindak balas (respons) daripada kedua-dua pihak. 

Perhubungan guru dan pelajar terutamanya dalam bilik darjah berperanan sebagai medium yang menghubungkan isi pelajaran supaya ia dapat diterima sepenuhnya oleh para pelajar. Sehubungan itu, kemahiran berkomunikasi guru yang melibatkan gabungan kreativiti dapat mewujudkan suatu suasana yang dapat mempengaruhi minda dan respons pelajarnya. Selain itu, Komunikasi yang baik diantara guru dan pelajar akan mewujudkan kemesraan yang memberi kesenangan dalam proses pembelajaran sekaligus memberi input pengetahuan bermanfaat bagi para pelajar. Justeru, guru sewajarnya memberi penekanan terhadap hal ini agar dapat menyumbang ke arah proses pendidikan melalui peningkatan dan perkembangan hubungan sosial positif terhadap setiap anak didiknya. 

Kereativiti dalam proses pengajaran juga melibatkan teknik atau kaedah yang digunakan oleh seorang guru terhadap penyampaian kandungan pelajarannya. Kemahiran yang ada dalam menguruskan hal-hal ini akan menjana kemajuan dan prestasi pelajar ke arah membentuk kefahaman mereka. Abd Ghafar Md. Din (2003) menyatakan hal ini bergantung kepada beberapa faktor yang melibatkan masa pengajaran, jumlah pelajar, bahan pengajaran dan lain-lain lagi. Menurut beliau lagi, dengan menggunakan pelbagai kaedah pengajaran atau teknik pelajar tidak akan berasa bosan. Oleh demikian, teknik atau kaedah pengajaran yang bersesuaian akan menjadikan pengajaran guru lebih menarik dan berkesan. Oleh itu, ia melibatkan kemahiran dan idea-idea kreatif seorang guru bagi menguruskan halhal ini. Dalam proses pengajaran ia melibatkan gabung jalin isi pelajaran dan aktiviti pelajar. 

Bagi mencapai matlamat pengajaran sekaligus menjamin keberkesanannya ia haruslah memberi fokus kepada kecenderungan pelajar. Ini melibatkan kebebasan memilih pendekatan serta teknik P&P mengikut kemampuan pelajar agar dapat memberi sepenuh perhatian. Dengan demikian, daya kreativiti guru menjadi asas dalam mencorakkan proses pengajaran supaya dapat mewujudkan keceriaan pelajar menerusi aktiviti-aktiviti pengajaran seperti melakukan eksperimen, demonstrasi, lakonan dan sebagainya yang memperlihatkan perkara-perkara praktikal. Selain itu, kreativiti guru dapat diwujudkan dalam menyampaikan isi pelajaran semasa proses P&P dengan mengaitkannya dengan isu-isu semasa yang menjadi sumber maklumat tambahan kepada para pelajar. 

Penerangan isi pelajaran dengan perkaitan sumber maklumat semasa akan mencambahkan minda dan pengetahuan sedia ada pelajar. Seterusnya hal ini akan membentuk kefahaman maksimum dan penerapan ilmu serta mendedahkan mereka kepada realiti dunia semasa. Misalnya, dalam matapelajaran sains yang membincangkan berkenaan biologi, guru dapat mengaitkan konsep biologi tersebut dengan teknologi pengklonan yang telah dijalankan oleh beberapa negara maju di dunia dan menimbulkan pelbagai perspektif masyarakat. Secara tidak langsung perkaitan seperti ini akan menjadikan para pelajar terus menerokai secara mendalam lagi berkenaan isi pelajaran yang disampaikan. Tuntasnya, kemahiran dan kebolehan para guru dalam mengendali setiap proses P&P bergantung kepada keupayaan kreativiti mereka dalam mempelbagaikan corak penyampain isi pelajaran. Justeru, proses pengajaran sedemikian akan menjadikan pelajar dapat mengikuti setiap isi pelajaran yang disampaikan serta dapat menguasai pemikiran mereka supaya dapat memberi sepenuh perhatian semasa proses P&P dilaksanakan.

ISU PENGGUNAAN TEKNOLOGI/ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


Peranan Pihak Pentadbir Sekolah

Isu ini dilihat melalui peranan pihak pentadbir sekolah dalam menyediakan kemudahan prasarana dari segi teknologi kepada pihak guru dan pelajar. kemudahan-kemudahan ini perlu disediakan dengan lengkap oleh pihak pentadbir sekolah bagi memudahkan pelajar dan guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pihak sekolah boleh menyediakan kursus-kursus ICT yang bersesuaian dengan guru dan pelajar. kursus yang disediakan kepada pihak guru bertujuan menambah kemahiran guru dalam penggunaan dan pengendalian ICT semasa sesi pembelajaran dan pengajaran yang berlangsung di dalam kelas. Bagi pihak pentadbir sekolah yang mempunyai jawatan yang lebih tinggi berbanding guru yang lain, mereka boleh jadikan diri mereka sebagai contoh atau role model kepada guru lain dalam menjadikan pengajaran dan pembelajaran berpandukan ICT, dengan ini guru lain akan berasa lebih terpengaruh untuk menggunakan teknologi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.


Kekangan Masa Sewaktu Sesi Pengajaran Dan Pembelajaran

Setiap pihak pentadbiran sekolah terutamanya guru telah terikat dengan sukatan mata pelajaran yang telah ditetapkan oleh kementerian pelajaran bagi negeri tersebut. ini akan menyebabkan guru harus menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran berpandukan kepada jadual untuk menghabiskan sukatan pelajaran dalam waktu yang telah ditetapkan. Bagi sesetengah guru yang kurang pengetahuan dan pendedahan dari segi penggunaan ICT yang betul, mereka berpendapat bahawa penggunaan ICT akan melambat sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana, untuk memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran berpandukan ICT, persediaan awal dari segi bahan untuk mengajar harus disediakan terlebih awal. Sekiranya berlaku sebarang masalah atau gangguan terhadap ICT sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran, masa untuk guru memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran akan tergendala. Perkara ini bukan sahaja akan memakan masa guru dan pelajar malahan matlamat guru untuk menghabiskan sesuatu sukatan berpandukan jadual yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian dan pentadbir sekolah turut terganggu. Kebanyakan guru terpaksa mengadakan kelas tambahan di luar sesi pengajaran dan pembelajaran untuk menghabiskan sukatan mata opelajaran tersebut.


Penyalahgunaan Makmal Komputer Dan Internet Percuma Di Sekolah

Penyedian makmal komputer dan internet percuma di sekolah kadang-kala disalahgunakan oleh pelajar. Ini dapat dilihat dari segi situasi yang mana pelajar akan menggunakan internet dan komputer yang di sediakan di sekolah untuk membuka laman-laman sesawang yang lain daripada laman sesawang pembelajaran. Kadang-kala, pelajar akan gunaan internet percuma yang disediakan di sekolah untuk memuat turun video-video yang tidak berkaitan dengan pembelajaran yang mana video ini lebih ke arah hiburan semata-mata. Kekurangan pemantauan oleh pihak pentadbiran sekolah terhadap pelajar sewaktu sesi penggunaan computer merupakan salah satu punca yang menyebabkan pelajar berani menyalahgunakan kemudahan ICT yang disediakan. Bagi mengelakkkan perkara ini terjadi, pihak pentadbiran sekolah seharusnya menempatkan beberapa orang pemantau ICT bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan internet ini.


Kekurangan Prasarana Dan Bahan Sokongan

Kecanggihan kemudahan ICT yang terdapat di sekolah pada masa ini adalah tidak seragam. Seperti yang kita sedia maklum di setiap sekolah jumlah komputer yang diperuntukkan oleh kerajaan hanyalah sedikit. Hal ini kerana terdapatnya kekangan-kekangan yang memang tidak dapat dielakkan seperti kekangan kewangan dan sebagainya. Implikasinya, tidak semua pelajar bepeluang untuk menggunakan komputer yang terdapat di sekolah. Dalam konteks ini, wujud isu bilangan komputer yang tidak dapat menampung bilangan pelajar di sekolah dan ketiadaan makmal khusus untuk mata pelajaran tertentu. Untuk mengendalikan sesuatu kelas kemahiran penggunaan komputer, setiap pelajar seharusnya dibekalkan dengan sebuah komputer. Ini bertujuan supaya pelajar dapat berdikari dan menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan. Berkongsi komputer tidak digalakkan kerana pelajar sepatutnya diberi peluang menyentuh sendiri perkakasan dan perisian untuk tujuan penghayatan dan merangsang proses kemahiran berfikir pelajar.




CADANGAN

Pihak sekolah perlu memperbaiki infrastruktur komunikasi dan multimedia seperti kemudahan komputer, lebar jalur tinggi yang bersepadu dan sambungan Internet serta makmal komputer. Selain itu, pihak sekolah juga perlu meningkatkan infostruktur seperti rangkaian, kandungan tempatan, insentif dan perundangan untuk membentuk persekitaran yang membolehkan penyediaan infostruktur.

Pihak pentadbir juga, seharusnya menyediakan bahan - bahan sokongan lain seperti buku panduan atau manual pengguna, juruteknik komputer dan guru pakar. Kemudahan bilik darjah atau makmal yang selesa dilengkapi perabot yang mencukupi memberi galakan dan motivasi kepada guru atau murid. Guru-guru haruslah mengetahui tahap keupayaan infrastruktur ICT yang terdapat di sekolah masing-masing terlebih dahulu sebelum merancang sebarang aktiviti pembelajaran yang menggunakan

ICT. Ini bagi memastikan aktiviti yang dilaksanakan membuahkan hasil yang optimum sesuai dengan objektif pembelajaran. Kemudahan bilik darjah atau makmal yang selesa dilengkapi perabot yang mencukupi memberi galakan dan motivasi kepada guru atau murid. Suasana bilik yang ceria yang mempunyai sudut-sudut pembelajaran berkaitan IT dapat memberi kemudahan kepada murid mencari maklumat berkaitan IT.

Tuesday, 22 December 2015

KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT)



1.0 PENDAHULUAN 

Dalam usaha kita untuk bersaing dengan negara-negara termaju di dunia, sistem pendidikan kita perlu berupaya melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif serta berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global. Di harapkan langkah mengaplikasikan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam PdP akan dapat menaikkan prestasi negara khususnya dalam persaingan peringkat antarabangsa terutama dalam pentaksiran Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2015.



2.0 KONSEP & TEORI KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT) 

KBAT melibatkan kemahiran intelek yang tinggi. Kemahiran ini kebiasaan melibatkan merujuk kepada empat aras teratas dalam Taksonomi Bloom iaitu mengaplikasi, menganalisa, menilai dan mencipta.




KBAT juga mengaplikasikan pemikiran secara kritikal, pemikiran kreatif, pemikiran logical, pemikiran reflektif dan meta kognitif. Secara mudahnya murid mencerap sesuatu data atau maklumat kemudian diproses dalam minda dan akhirnya dikeluarkan semula dalam pelbagai bentuk. Kemahiran berfikir ini juga dikatakan sebagai berfikir secara kritis dan kreatif.

Memiliki kemahiran ini murid bebas untuk membanding, membeza, menyusun atur, mengelas dan mengenal pasti sebab dan akibat mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri. Andai kata diberikan suatu soalan maka murid boleh memberi jawapan dalam pelbagai bentuk, idea baru dan melihat daripada beberapa sudut. Di sinilah dikatakan wujudnya pemikiran berbentuk kreatif, inovatif dan mereka cipta di kalangan murid.

KBAT ini juga mempunyai kelebihan lain iaitu dapat meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehan sedia ada pada murid. Mereka akan dapat mengawal, memandu dan mengukur pembelajaran yang telah mereka kuasai. Kebolehan ini akan menjadikan mereka lebih produktif dan berdaya saing. Seterusnya sudah tentu dapat meningkatkan kefahaman dan memperkukuh pembelajaran dalam apa sahaja perkara yang mereka pelajari nanti.

Bagi menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid maka peranan guru sangat signifikan. Usaha ke arah itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh. Sebenarnya kemahiran berfikir ini bukanlah asing kepada guru kerana mereka telah didedahkan tentang konsep dan kaedah kemahiran ini semasa mengikuti latihan perguruan di maktab atau universiti suatu ketika dahulu. Walau apa pun guru perlu terus ditingkatkan keupayaan kemahiran berfikir mereka supaya dapat memberikan yang terbaik kepada murid dalam pengajaran mereka. Antara cara berkesan yang boleh dilakukan untuk menerapkan KBAT dalam PdP ialah dengan mengemukakan soalan-soalan yang berunsurkan KBAT semasa proses PdP dijalankan. Soalan dikemukakan adalah soalan yang membolehkan murid untuk mengaplikasi, menganalisa, mensintesis dan menilai suatu maklumat daripada sekadar menyatakan semula fakta atau hanya mengingati fakta yang telah dipelajari.



2.1 Perbandingan Teori Berkaitan KBAR dan KBAT Dalam Matematik

Kemahiran Berfikir Aras Rendah (KBAR)
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)
“Lower-order thinking (LOT) is often characterized by the recall of information or the application of concepts or knowledge to familiar situations and contexts”. Resnick (1987)Characterized higher-order thinking (HOT) as “non-algorithmic.”
Resnick (1987)
LOT tasks requires a student “… to recall a fact, perform a simple operation, or solve a familiar type of problem. It does not require the student to work outside the familiar” Schmalz (1973)“The use of complex, non-algorithmic thinking to solve a task in which there is not a predictable, well-rehearsed approach or pathway explicitly suggested by the task, task instruction, or a worked out example.”  Stein and Lane (1996)
“LOT is involved when students are solving tasks where the solution requires applying a well-known algorithm, often with no justification, explanation, or proof required, and where only a single correct answer is possible”.
Senk, Beckman, & Thompson (1997)
“HOT as solving tasks where no algorithm has been taught, where justification or explanation are required, and where more than one solution may be possible”.  Senk, et al (1997)

“LOT as solving tasks while working in familiar situations and contexts; or, applying algorithms already familiar to the student”. Thompson (2008)“HOT involves solving tasks where an algorithm has not been taught or using known algorithms while working in unfamiliar contexts or situations”.
Thompson (2008)
Jadual 1



3.0 PERBEZAAN ANTARA MASALAH RUTIN DAN BUKAN RUTIN


Secara umum, masalah boleh diklasifikasikan sebagai masalah rutin dan masalah bukan rutin. Masalah rutin hanya memerlukan beberapa prosedur seperti operasi aritmetik untuk mendapatkan penyelesaian.

Sebaliknya, jika situasi masalah itu tidak boleh diselesaikan mengikut kaedah pengiraan biasa maka ia dikenali sebagai masalah bukan rutin. Dalam situasi seperti itu, pelajar meneroka cara penyelesaian yang lebih mendalam untuk menyelesaikan masalah tersebut.



3.1 Masalah Rutin



Masalah rutin merupakan masalah yang melibatkan hanya satu operasi aritmetik sahaja dalam menyelesaikannya. Dalam menyelesaikan masalah rutin, kita hanya perlu memahami masalah, memilih operasi yang sesuai serta mengaplikasikan algoritma-algoritma yang telah dipelajari. Prosedur penyelesaiannya adalah sudah kita ketahui. Ketika menyelesaikan masalah rutin, kita perlu mengenalpasti



1. Apakah soalan yang perlu dijawab

2. Fakta-fakta atau nombor yang perlu digunakan

3. Operasi-operasi yang perlu digunakan

4. Anggaran nilai penyelesaian



Masalah rutin memberi kesan seperti berikut kepada kita:

a. Memberi latihan dalam mengingat fakta-fakta asas dan langkah-langkah yang berurutan

b. Mempertingkat kemahiran-kemahiran dalam operasi asas

c. Memberi peluang untuk berfikir tentang perkaitan antara sesuatu operasi dan aplikasinya kepada situasi-situasi sebenar.



Contoh-Contoh Soalan Rutin

Contoh 1 :

Ali makan 2 keping roti. 5 minit kemudian, dia makan 1 keping lagi roti. Berapa banyak keping roti Ali makan kesemuanya?

Contoh 2:

Maria membeli sekotak susu dengan harga RM1.55 dan sebungkus biskut dengan harga RM1.70. Berapakah jumlah wang yang dibayar oleh Maria?

Contoh 3 :

Cari perimeter segi empat tepat yang mempunyai panjang 8 meter dan lebar 17 meter.

Contoh 4 :

Cari panjang sebuah segi empat tepat yang mempunyai luas 48 meter persegi dan lebar 6 meter.



3.2 Masalah Bukan Rutin

Masalah bukan rutin merupakan masalah yang memerlukan proses-proses yang lebih tinggi dalam menyelesaikan masalah berbanding masalah rutin. Untuk mencari penyelesaian dalam masalah bukan rutin adalah bergantung kepada kebolehan menggunakan pelbagai strategi penyelesaian masalah bersama dengan fakta-fakta dan maklumat dalam pertimbangan. Prosedur penyelesaian masalah bukan rutin tidak kita ketahui. Masalah bukan rutin biasanya diselesaikan dengan pelbagai cara yang memerlukan proses pemikiran yang berbeza.

Antara kesan positif dalam mengaplikasikan masalah bukan rutin ialah seperti berikut:

1. Dapat mengembangkan penggunaan strategi-strategi penyelesaian masalah

2. Memberi peluang untuk memikirkan pelbagai cara penyelesaian, berkongsi kaedah-kaedah penyelesaian masalah serta meningkatkan keyakinan diri dalam penyelesaian masalah matematik

3. Dapat menikmati keindahan dan logik yang wujud dalam matematik

4. Meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis.



Contoh-contoh soalan bukan rutin


Contoh 1 :

Maria membeli sekotak susu dengan harga RM1.55 dan sebungkus biskut dengan harga RM1.70. Dia memberikan RM4.00 kepada jurujual. Berapakah bilangan syiling yang diterima oleh Maria sekiranya jurujual itu memberikannya beberapa syiling 5 sen, 10 sen dan 20 sen?

Terangkan jawapan anda?


Contoh 2 :

Mamat ingin membina pagar bagi reban ayam yang berbentuk segi empat. Dia mempunyai 20 meter wayar pagar.

1. Apakah saiz segi empat yang boleh beliau hasilkan?

2. Bentuk manakah yang terbaik


Contoh 3 :

Antara nombor-nombor berikut, nombor yang mana berbeza? Mengapa?

23, 20, 15, 25


Contoh 4 :

Ali telah membeli sebuah basikal dan kemudian menjualnya kepada rakannya dengan harga RM240. Dia telah mendapat keuntungan sebanyak 20% selepas menjual basikal itu.

Berapakah harga kos basikal tersebut ?


3.3 Nota Aktiviti

Perbincangan kumpulan kecil dijalankan secara berpasangan. Tugasan yang diberikan adalah menukarkan soalan rutin (KBAR) kepada soalan bukan rutin (KBAT).


Soalan-soalan rutin yang dikemukakan adalah seperti berikut :


1. RM 210 – RM 30 =

2. Rajah menunjukkan sebuah segi empat tepat

8×4= ?

Kira luas, dalam cm², segi empat tepat tersebut.

Pelbagai jenis soalan akan diberikan oleh peserta. Perbincangan akan dilakukan bagi menentukan soalan-soalan yang dikemukakan adalah bukan rutin atau tidak.



Cadangan jawapan :



1. Pak Ali mempunyai wang sebanyak RM210. Dia memberikan wang tersebut kepada Chong dan Raju. Raju menerima RM30 kurang daripada Chong.

Berapakah jumlah wang yang diterima oleh Chong?

Jelaskan bagaimana anda mendapat jawapan?



1. Johan ingin menggunakan seutas dawai yang panjangnya 24 cm untuk membentuk satu rangka segi empat dengan luas yang maksimum.

Apakah panjang dan lebar bentuk segi empat itu?



4.0 KEPELBAGAIAN STRATEGI DALAM PENYELESAIAN MASALAH

Strategi juga merujuk kepada prosedur yang akan membantu anda untuk memilih pengetahuan dan kemahiran yang digunakan di semua langkah penyelesaian masalah. Strategi yang dipilih harus fleksibel agar dapat digunakan untuk menyelesaikan pelbagai masalah. Berikut adalah beberapa strategi yang boleh digunakan. 

Penyelesaian masalah merupakan fokus utama dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Justeru, pembelajaran dan pengajaran perlu melibatkan kemahiran penyelesaian masalah secara komprehensif dan merentasi keseluruhan kurikulum. Perkembangan kemahiran penyelesaian masalah perlu diberi penekanan sewajarnya supaya murid dapat menyelesaikan pelbagai masalah secara berkesan. Kemahiran ini melibatkan langkah-langkah seperti berikut :

  • Memahami dan mentafsirkan masalah
  • Merancang strategi penyelesaian
  • Melaksanakan strategi
  • Menyemak semula penyelesaian

Kepelbagaian penggunaan strategi umum dalam penyelesaian masalah, termasuk langkah-langkah penyelesaiannya harus diperluaskan lagi penggunaannya dalam mata pelajaran ini. Dalam menjalankan aktiviti pembelajaran untuk membina kemahiran penyelesaian masalah ini, perkenalkan masalah yang berasaskan aktiviti manusia. Melalui aktiviti ini murid dapat menggunakan Matematik apabila berdepan dengan pelbagai situasi harian yang lebih mencabar. Antara strategi-strategi penyelesaian masalah yang boleh dipertimbangkan :

Cuba jaya / teka uji

1. Membina senarai / jadual / carta yang sesuai

2. Mengenal pasti kemungkinan

3. Menggunakan algebra

4. Mengenal pasti pola

5. Melukis gambarajah

6. Guna Kaedah Unitari

7. Guna Model

8. Menyelesaikan masalah kecil terlebih dahulu

10. Guna rumus

11. Guna analogi / perbandingan

12. Lakonan / ujikaji

13. Mempermudahkan masalah

14. Membuat anggaran

15. Mental arimetik




4.1 Strategi : (Cuba jaya / Mengenal pasti kemungkinan / Melukis gambarajah / Guna rumus)

Contoh soalan yang diberikan ini mempunyai pelbagai strategi penyelesaian masalah.

Contoh Soalan:

Johan ingin menggunakan seutas dawai yang panjangnya 24 cm untuk membentuk satu rangka segiempat dengan luas yang maksimum. Apakah panjang dan lebar bentuk segi empat itu?

Penyelesaian :



Melukis gambarajah



Lukis atau lakar seberapa banyak gambarajah bentuk segi empat. Cuba letakkan nombor pada setiap sisi sehinggaberjaya menemui perimeter yang berjumlah

24 cm. Kemudian, gunakan kemungkinan kemungkinan nombor lain yang difikirkan sesuai. Seterusnya, gunakan rumus luas segi empat untuk mencari luas maksimum segi empat tersebut dengan mendarab panjang dan lebar. Akhirnya, padanan nombor yang sesuai dan munasabah akan ditemui bersesuaian dengan kehendak soalan tersebut iaitu seperti gambarajah di bawah.



Bentuk-bentuk yang berkemungkinan :









Jawapannya ialah 6 cm x 6 cm = 36 cm². Jawapan ini dipilih kerana bentuk itu mempunyai luas maksima jika dibandingkan dengan bentuk yang lain.



4.2 Strategi : (Guna Kaedah Unitari / Guna rumus / Guna algebra dan Melukis gambarajah)



Contoh Soalan :

Ali telah membeli sebuah basikal dan kemudian menjualnya kepada John dengan harga RM 240. Dia telah mendapat keuntungan sebanyak 20% selepas menjual basikal itu. Berapakah harga kos basikal tersebut?



Penyelesaian :



i) Guna Kaedah Unitari 



Untung = 20%

Harga Jual = RM 240 (100% +20%)

Harga Kos = (100%)



Oleh itu, 120% = RM 240

1% = ?



Cari nilai 1% terlebih dahulu.

RM 240 ÷ 120 = RM 2



Oleh itu, 1% = RM 2

Harga Kos = RM 2 × 100

= RM 200


SISTEM PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH






Pendidikan di Malaysia semakin berkembang dan seiring dengan kemajuan dunia selaras dengan penggunaan kurikulum yang di tambah baik iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR ). KSSR merupakan satu kurikulum yang di ambil daripada KBSR tetapi telah menjalani penambahbaikan serta kajian yang menyeluruh. Proses kearah penggubalan kurikulum pada hari ini memakan masa yang panjang bermula dari zaman selepas merdeka lagi. Pemimpin-pemimpin sentiasa berusaha agar pendidikan di Malaysia berdaya saing di peringkat antarabangsa.

            Walaupun pelaksanaan KSSR masih baru, guru-guru haruslah berusaha dengan lebih gigih agar segala yang dihasratkan dapat direalisasikan. Peneguhan dalam pembasmian buta huruf masih lagi menjadi agenda utama kerajaan. Kemahiran 3M iaitu membaca, menulis serta mengira diteruskan lagi dalam KSSR dan ditambah lagi dengan satu lagi M iaitu menaakul. Perkembangan kurikulum di negara ini dapat dilihat semakin pesat mengalami perubahan, bermula dengan pembelajaran secara ikut-ikutan atau tradisional sehinggalah pembelajaran bercorak aktif serta setanding dengan negara-negara maju yang lain. Pembelajaran aktif dan menyeronokkan ini tidak lagi berorientasikan peperiksaan. Oleh itu, para pelajar tidak lagi merasa terbeban. Guru-guru juga bebas untuk menguji serta menganalisa pencapaian murid-muridnya.

            Pentaksiran berasaskan sekolah ini memberi kebebasan kepada guru-guru serta sekolah untuk memilih kandungan ujian yang dilihat menghapuskan sistem peperiksaan sedikit demi sedikit. Murid-murid juga bebas untuk memberikan pendapat masing-masing dan mereka juga sentiasa digalakkan untuk mengambil peranan yang aktif dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. 


Saturday, 12 December 2015

TEKNIK PENYOALAN DALAM PENGAJARAN



Pengajaran yang melibatkan penyoalan akan lebih berkesan untuk mencapai objektif pembelajaran berbanding pengajaran tanpa penyoalan. Penyoalan yang dikemukakan untuk menarik tumpuan murid akan memberikan kesan kepada kefahaman murid.

            Biasanya, soalan yang dikemukakan adalah berkaitan dengan pembelajaran fakta. Penyoalan kepada murid-murid yang pintar sebelum menjurus kepada bahan pengajaran dan pembelajaran akan menarik minat murid terhadap perkara tersebut manakala penyoalan yang dibuat kepada murid lemah akan membantu murid menumpukan perhatian untuk menjawab soalan tersebut. Terdapat lima langkah untuk menggunakan teknik penyoalan iaitu:

1.         Mengajukan soalan kepada seluruh kelas.

Guru akan merancang soalan-soalan yang hendak dikemukakan. Soalan yang diajukan hendaklah sesuai dengan umur dan tahap keupayaan penguasaan murid. Soalan yang dikemukakan mungkin berada pada aras pengetahuan bagi murid tahun 1 tetapi bagi murid tahun 5, soalan yang diberikan lebih sesuai pada aras aplikasi. Semua murid akan diberi soalan yang sama supaya murid-murid dapat memikirkan jawapan yang sesuai. Bentuk soalan yang dikemukakan kepada murid hendaklah diubah dari semasa ke semasa. Contohnya, soalan boleh bermula dengan perkataan apakah, jika soalan itu hanya memerlukan jawapan yang objektif. Namun, pada masa yang lain pula, guru boleh memulakan soalan menggunakan perkataan bagaimana untuk mendapatkan jawapan yang lebih mendalam. Perlu diingatkan bahawa, soalan yang dikemukakan kepada murid-murid hendaklah jelas, ringkas dan tepat bagi menjamin kebolehpercayaannya.

2.         Beri masa berfikir yang sesuai. ( wait time )

Kajian terhadap strategi penyoalan menyatakan bahawa terdapat dua jenis ‘waktu menunggu’ ( wait time ). Pertama, waktu menunggu merujuk kepada jumlah masa yang diberikan kepada murid hingga murid mula untuk menjawab. Kedua, waktu menunggu merujuk kepada jumlah waktu menunggu selepas seorang murid berhenti bercakap dan mula bercakap. Biasanya guru akan memberikan tempoh tiga saat untuk murid berfikir sebelum menjawab. Ini akan menggalakkan murid menyusun idea mereka sebelum menjawab. Sekiranya murid terlalu didesak untuk menjawab, murid hanya akan menjawab tentang apa yang terlintas difikirannya sahaja.

3.         Pilih murid untuk menjawab.

Soalan yang ditujukan tidak hanya tertumpu kepada murid yang pintar sahaja. Guru juga perlu mengelakkan sikap menyoal murid mengikut tempat duduk mereka kerana murid-murid lain akan mengabaikan soalan guru dan tidak bersedia. Bagi memastikan murid-murid lain memberi tumpuan kepada jawapan yang diberikan oleh rakan, guru boleh memilih soalan yang mempunyai pelbagai jawapan supaya murid-murid lain tidak mengulangi jawapan yang sama. Ini akan menggalakkan murid berfikir secara kreatif dan kritis.

4.         Memberi reaksi yang bersesuaian kepada jawapan murid.

Berdasarkan jawapan yang diberikan oleh murid, guru perlu memberikan reaksi yang sesuai. Terdapat beberapa situasi jawapan murid yang memerlukan reaksi yang berbeza dari guru. Sekiranya jawapan yang diberikan memenuhi soalan yang diberikan, pujian perlu diberikan. Ini adalah untuk menggalakkan murid berusaha memberikan jawapan yang betul dan bernas. Namun, jika jawapan yang diberikan adalah kurang lengkap, guru boleh memberikan soalan-soalan lain yang dapat merangsang murid berfikir dan melengkapkan jawapan mereka. Guru boleh juga membuka peluang kepada murid-murid lain untuk membantu murid tersebut. Namun, sekiranya murid tidak mampu menjawab soalan tersebut, guru bolehlah memberikan soalan-soalan lain yang lebih rendah arasnya. Sekiranya soalan pertama yang tidak mampu dijawab berada pada aras aplikasi, guru boleh menukar soalan di bawah aras kefahaman sahaja.

5.         Beri penekanan atau membuat ringkasan  jawapan tepat yang boleh diterima.

Setelah memperolehi jawapan yang diingini dan menepati kehendak soalan, guru hendaklah memberi penekanan kepada murid. Sekiranya penjelasan diperlukan, guru perlulah menghuraikan semua atau hampir semua jawapan yang relevan supaya murid mengetahui bahawa kadangkala, jawapan yang mereka fikirkan juga boleh diterima. Soalan subjektif misalnya, dapat menggalakkan murid berfikir secara divergen. Adalah lebih baik jika guru menggalakkan murid melakar jawapan mereka, ini adalah supaya mereka mendapat gambaran yang lebih meluas dan mendalam. Seorang guru hendaklah mempunyai kemahiran atau teknik penyoalan yang baik. Ini di sebabkan oleh teknik penyoalan yang baik dapat merangsang murid berfikir secara kreatif dan kritis.



Sunday, 6 December 2015

STANDARD PENGAJARAN PROFESIONAL


Guru Mengajar Subjek Bukan Opsyen

Isu ini berlaku disebabkan oleh penempatan guru-guru baru atau guru pelatih yang bergantung kepada kekosongan sekolah. Kebiasaannya, isu ini terjadi di sekolah yang terletak di kawasan luar bandar dan pedalaman. Guru- guru yang mengajar subjek bukan opsyen ini terpaksa mengajar subjek mengikut keperluan sekolah yang mana berlainan daripada bidang utama guru tersebut. Hal ini menyebabkan guru tersebut kurang berkeyakinan dalam mengajar subjek yang mereka kurang mahir dan terpaksa meningkatkan kemahiran dan kefahaman mereka terlebih dahulu. Situasi ini akan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung akan terganggu dan turut menjejaskan sesi pembelajaran pelajar. Bagi mengatasi masalah ini, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia seharusnya memberikan penempatan yang lebih sesuai kepada semua guru mengikut subjek utama guru. Pihak pentadbiran sekolah juga seharusnya memainkan peranan dengan menyediakan kursus persediaan awal kepada guru yang diberikan penempatan mengajar yang tidak mengikut opsyen. Dari segi guru pula, persediaan mental dan fizikal dari guru amatlah perlu bagi memastikan setiap guru sentiasa bersedia walaupun ditugaskan mengajar mata pelajaran bukan opsyen.



Guru Tidak Mahir Atau Tidak Terlatih Dalam Bidang ICT

Isu ini terjadi disebabkan terdapat sebahagian guru yang berminat dalam bidang ICT manakala yang selebihnya tidak menunjukkan sebarang minat atau mengambil kisah mengenai penggunaan ICT. Bagi guru kurang kemahiran ICT dan kurang berminat terhadap ICT, mereka berpendapat bahawa masa yang akan di ambil untuk menguasai ICT akan mengambil masa yang lama dan mereka harus mengikuti kursus ICT untuk menambah kemahiran. Perkara ini akan menyebabkan guru terpaksa mengambil cuti untuk mengikuti kursus seterusnya menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas akan terganggu. Kadang-kala, masa yang di ambil untuk untuk memulakan pengajaran juga terpaksa di tangguhkan sekiranya berlaku masalah teknikal terhadap ICT, jadi ini akan menyebabkan berlakunya masalah kepada guru terutamanya bagi guru yang kurang mahir mengenai ICT.



MASALAH DISIPLIN DI KALANGAN GURU

Masalah disiplin dalam kalangan guru yang biasa berlaku di sekolah ialah guru masuk lewat ke dalam kelas. Perkara ini tidak boleh dianggap remeh kerana ianya boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, sesetengah guru yang tidak menjaga etika dan tidak mampu mengawal emosi cenderung menjadi contoh yang tidak baik kepada para pelajar. Penampilan guru itu sendiri sudah memberi impresi pertama kepada orang yang melihatnya. Guru juga perlu ada kawalan emosi yang baik supaya tidak melepaskan kemarahan terhadap pelajar sesuka hati.

PERANAN GURU DI SEKOLAH DIANGGAP TIDAK BERKESAN

Kebanyakan ibu bapa sekarang mempunyai kerjaya jadi mereka kadang-kadang tidak mempunyai masa untuk memeriksa serta memantau kerja sekolah anak-anak. Jadi sebagai solusi, mereka menghantar ke pusat tuisyen dengan harapan anak mereka lebih bersedia ke dewan peperiksaan. Ramai berpendapat mereka menghantar anak-anak ke pusat tuisyen disebabkan pengajaran guru di sekolah kurang mencukupi. Dalam jangka masa yang panjang, peranan guru di sekolah dianggap kurang penting. Jika dahulu, pusat tuisyen berfungsi sebagai sumber tambahan dan kelas persediaan sebelum ke kelas, kini pusat tuisyen berperanan sebagai sekolah. Peranan guru terus dipandang sepi jika tenaga pengajar di pusat tuisyen bukan seorang guru.


ISU PENDEKATAN GURU

BAHAGIAN 1


BAHAGIAN 2

Penggunaan bahan bantuan mengajar.

Bahan bantuan mengajar perlu disediakan awal oleh guru sebelum sesi pembelajaran dan pengajaran dijalankan. Bahan bantuan ini perlulah menggunakan bahan yang boleh menarik minat pelajar untuk lebih fokus semasa sesi pembelajaran dan pengajaran berlangsung. Sebagai contoh, penggunaan kertas yang berwarna-warni dan mempunyai pelbagai bentuk untuk dijadikan contoh dalam topik geometri.

Menggalakkan penglibatan aktif di kalangan pelajar sama ada semasa pengembangan konsep atau dalam aktiviti penyelesaian masalah

Permainan adalah satu kaedah pengajaran yang akan dapat mengembangkan daya kreativiti dan memupuk minat terhadap matematik. Ianya dapat mengurangkan rasa bosan dan jemu, khusus semasa menyelesaikan pelbagai masalah matematik. Penggunaan aktiviti permainan sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam dan luar bilik darjah adalah berlandaskan prinsip 'bermain sambil belajar'. Penyelesaian bagi beberapa masalah dalam matematik boleh ditunjukkan melalui aktiviti permainan dan simulasi, khususnya masalah yang melibatkan aplikasi kehidupan seharian. Simulasi juga sering digunakan untuk menerangkan jawapan atau penyelesaian dalam rekreasi matematik.

Pertuturan dan Gestur yang berkesan

Suara adalah aset penting yang dimiliki oleh guru dan haruslah digunakan secara bijaksana bagi mencapai kesan paling optimum. Guru mestilah memastikan suaranya cukup kuat dalam proses pembelajaran dan pengajaran berlangsung. Hal ini kerana, sekiranya guru mempunyai suara perlahan ini akan menimbulkan masalah kepada pelajar mengikut pelajaran terutama pelajar-pelajar dibahagian belakang kelas. Sebaliknya suara yang terlalu kuat menjadi gangguan pula kepada pelajar-pelajar di bahagian hadapan kelas dan secara tidak langsung akan mengganggu perjalanan kelas-kelas lain yang berhampiran. Selain pertuturan yang berkesan, mimic muka serta gestur iaitu pergerakan bahagia-bahagian tertentu badan guru dapat memperkukuhkan mesej yang disampaikan oleh guru. Namun begitu, perubahan mimic muka dan penggunaan gestur tidaklah boleh dilakukan secara keterlaluan kerana tindakan sedemikian menyebabkan guru menjadi bahan ketawa atau ejekan pelajar.


Friday, 4 December 2015

KOMUNIKASI MELALUI INTERAKSI SOSIAL: MEMBINA DAN MEMPERKEMBANGKAN PENGETAHUAN MATEMATIK



Pembinaan dan Perkembangan Pengetahuan Matematik dalam Minda Pelajar



Semenjak kebelakangan ini, hasil-hasil kajian tentang proses pembelajaran matematik telah menunjukkan bahawa pengetahuan matematik adalah dibina dan dikembangkan dalam minda seseorang individu itu oleh dirinya sendiri.

Mengikut Piaget (dalam Souviney, 1989), semua pengetahuan baru boleh difahami hanya apabila dikaitkan dengan yang sedia ada. Beribu-ribu pengurusan struktur atau skema dikembangkan di sepanjang hayat seseorang. Melalui proses interaktif asimilasi dan akomodasi, individu-individu berusaha mencapai keseimbangan yang bersepadu dan mengalami peringkat-peringkat perkembangan itu. Seseorang individu dikatakan akan mengasimilasikan apa yang baru diketahui dengan apa yang sudah diketahui, untuk mencapai pemahaman. Pengalaman lama akan berubah secara beransur-ansur, atau yang dikenali sebagai akomodasi, disebabkan oleh pengalaman baru ini.

Ahli psikologi Rusia, Lev Vygotsky (dalam Souviney, 1989) pula mengatakan operasi mental adalah dirangsangkan melalui interaksi sosial yang aktif dengan rakan sebaya dan orang dewasa yang lebih berterampilan. Operasi-operasi ini akan diserap ke dalam minda seseorang dan menukar menjadi sesuatu yang diperlukannya. Beliau juga membahaskan bahawa pengajaran berkesan ialah apabila pelajar bekerjasama melibatkan diri dalam aktiviti dalam suasana yang menyokong pembelajaran dan menerima bimbingan yang berpatutan dari guru. Guru berperanan mengorganisasikan interaksi untuk membantu kanak-kanak menyelesaikan tugasan pembelajaran.

Kajian yang dijalankan ke atas kanak-kanak di tadika oleh Baroody & Ginsburg (1990), menunjukkan bahawa kanak-kanak sendiri membina pengetahuan matematik yang tidak formal sebelum mereka mengikuti kelas formal di sekolah. Hasil kajian ini boleh kita lihat dalam aktiviti harian kanak-kanak yang belum mengikuti pendidikan formal. Semasa bermain, kanak-kanak dalam golongan ini selalunya bersua dengan istilah-istilah matematik seperti ‘lebih tinggi’, ‘lebih rendah’, ‘segitiga’, ‘bulat’, ‘dua’, ‘tiga’, dan sebagainya. Proses-proses pembelajaran yang tidak formal tentang pengetahuan matematik, seperti ukuran, ruang, bentuk geometri, dapat dikatakan berlaku dalam situasi sedemikian.

Dengan menggunakan istilah matematik sedemikian semasa berinteraksi dengan rakannya, matematik tidak formal dibina dalam minda kanak-kanak kerana ia berguna kepada mereka atau bermakna bagi mereka. Mengikut Baroody & Ginsburg (1990), pengetahuan matematik tidak formal ini dibina dan diperkembangkan oleh kanak-kanak kerana ia bermakna, menarik dan berguna kepada mereka, dan perasaan ingin tahu yang ada pada kanak-kanak mendesak mereka untuk menjadikan persekitaran bermakna, dan mempunyai keupayaan untuk menguruskannya.

Steffe (1990) pula mengatakan bahawa mengikut pendapat ahli konstruktivisme, pengetahuan konsep tidak dapat dipindah dari seorang kepada seorang yang lain, tetapi mesti dibina oleh setiap pelajar berasaskan sepenuhnya kepada pengalamannya.

Jadi, pembelajaran matematik berlaku apabila kanak-kanak berinteraksi dengan persekitarannya yang juga termasuk rakan sebaya dan guru. Pengalaman seseorang kanak-kanak itu yang merupakan asas kepada pembinaan pengetahuan matematik dalam minda juga berhubungkait dengan persekitarannya. Dalam proses membesar, kanak-kanak memperoleh pengalaman melalui proses berinteraksi dengan persekitarannya iaitu melakukan pemerhatian, mendengar, bercakap, menyentuh, merasa, meniru dan sebagainya.



Komunikasi melalui Interaksi Sosial - Membina dan memperkembangkan Pengetahuan Matematik


Komunikasi melalui interaksi sosial berperanan penting dalam membina pengetahuan matematik dalam minda pelajar. Interaksi sosial sebenarnya merupakan salah satu ciri persekitaran semula jadi yang dialami oleh individu-individu yang normal. Bermula dari peringkat awal persekolahan lagi, guru harus mewujudkan komunikasi yang berbentuk interaksi sosial di kalangan pelajar dengan pelajar, pelajar dengan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik. Dengan berbuat sedemikian guru dapat membantu kanak-kanak yang mulai mengikuti pendidikan formal ini memperlengkapkan serta memperbaiki pengetahuan matematik yang tidak formal yang telah terbina sebelum ini. Mengikut Ginsburg & Baron (1993), satu pendekatan yang dikatakan berguna haruslah yang boleh merangsangkan, secara spontan, minat dan penglibatan kanak-kanak dalam persekitaran yang semula jadi dan menolong mereka memperkembangkan dan melengkapi pengetahuan matematik tidak formal itu.

Koehler & Prior (1993: 281-282) menegaskan bahawa interaksi guru dan pelajar adalah penting dengan mengatakan,


"Most would agree that teaching and learning could occur without texts, blackboards, or manipulatives, but we maintain that the learning process would exist for only a very few students if classroom interaction with teachers and peers were eliminated. Teacher-student interactions are indeed the heartbeat of the teaching-learning process."


Petikan di atas menyatakan ramai orang yang setuju bahawa pengajaran dan pembelajaran boleh berlaku tanpa buku teks, papan tulis, atau bahan manipulatif, tetapi proses pembelajaran hanya akan wujud bagi beberapa orang pelajar sahaja sekiranya interaksi pelajar dengan guru dan rakannya dihapuskan. Interaksi pelajar dengan guru dan rakan sebayanya merupakan ‘denyutan nadi’ proses pengajaran dan pembelajaran.

Oleh yang demikian, interaksi sosial di antara guru dan pelajar, pelajar dan pelajar, secara individu atau berkumpulan kecil merupakan salah satu proses komunikasi yang harus diwujudkan dalam bilik darjah bagi pengajaran dan pembelajaran matematik.

Dalam pembelajaran matematik, cara-cara untuk berkomunikasi idea-idea matematik melalui interaksi sosial ialah melukis atau menulis perwakilan, bercakap, menanya, memberi komen, mengkritik, membukti, memberi penjelasan, memberi pendapat, mendengar dan sebagainya. Mengikut NCTM (1989), perwakilan melibatkan perterjemahan satu masalah atau idea kepada satu bentuk yang baru, yang selalunya melibatkan gambarajah, simbol, tatatanda. Manakala apabila kanak-kanak dalam kumpulan kecil berbincang dan menyelesaikan masalah, mereka boleh mengaitkan bahan yang mereka tahu dengan istilah matematik yang mungkin mereka tidak biasa lihat atau dengar.

Mengikut teori psikologi, kanak-kanak mempunyai sifat yang aktif dan suka bergaul, yang mana mendorong kanak-kanak berkomunikasi dengan orang lain. Dengan berkomunikasi, kanak-kanak berpeluang menjelaskan pemikiran dan mempertajamkan pemikiran mereka. Aktiviti seperti menerokai, menyiasat, menghuraikan dan menerangkan idea matematik mempromosikan komunikasi. Soalan berbentuk penyiasatan dan bimbingan boleh menggalakkan kanak-kanak berfikir dan menerangkan pemikiran mereka secara lisan atau bertulis, membolehkan mereka lebih memahami idea-idea yang mereka sampaikan, seperti yang dikemukakan oleh NCTM (1989:24),


"Interacting with classmates helps children construct knowledge, learn other ways to think about ideas, and clarify their own thinking. Writing about mathematics, such as describing how a problem was solved, also helps clarify their thinking and develop deeper understanding. Reading children's literature about mathematics, and eventually text material, also is an important aspect of communication that needs more emphasis in the K-4 curriculum."


Perbualan berikut adalah di antara seorang kanak-kanak tadika dengan gurunya setelah guru itu mengajar tentang konsep 'olahan tolak' dan perwakilan simbolnya. Kanak-kanak itu di tanya oleh gurunya apa yang beliau faham dengan " 6 - 2 = 4 ":

Guru : "Apa yang anda faham dengan "6 - 2 = 4"? Cuba anda bercerita."

Kanak-kanak :" ...Oh, mula-mula saya ada enam biji gula-gula, lepas itu

saya makan dua biji. Jadi saya masih ada empat biji lagi. ..."

Daripada perbualan ini seseorang guru itu boleh melihat bagaimana kanak-kanak 'mengkonkritkan' simbol yang abstrak ke dalam makna yang sesuai dengan pengalamannya.

Seterusnya, salah seorang ahli konstruktivisme, von Glasersfeld (1990) berpendapat bahawa pengetahuan matematik bukanlah dibina secara terasing dari perkara-perkara lain. Setiap abstraksi yang dibuat oleh individu, ke atas perkara yang berkaitan dengan pengalaman, adalah terkawal oleh interaksi sosial dan kolaborasi dan komunikasi yang dibuat olehnya dengan ahli kumpulannya yang mana beliau dibesarkan bersama. Tiada individu boleh mengelakkan daripada mewujudkan persesuaian yang berkaitan dengan domain persetujuan persekitaran sosial. Domain persetujuan yang perlu dipenuhi oleh seseorang individu itu ialah ahli-ahli matematik, guru dan orang dewasa yang lain.

Dalam kehidupan harian, kita sentiasa dikehendaki membuat rundingan dalam mengatasi masalah. Tujuan rundingan adalah untuk mencapai persetujuan di antara dua pihak atau lebih dalam proses interaksi sosial. Jadi, kemahiran membuat rundingan perlu dikuasai oleh pelajar-pelajar sebelum mereka meninggalkan sekolah. Untuk menghasilkan rundingan yang menyakinkan orang lain, seseorang itu haruslah mengumpulkan sebarang maklumat yang berkenaan dan membentuk hujah-hujah yang sesuai. Contoh berikut mengilustrasikan satu proses rundingan di dalam situasi pengajaran dan pembelajaran matematik di bilik darjah.


Guru :"Bolehkah anda tolong cikgu kira jawapan bagi 240 x 22 ?"

(Selepas lebih kurang 30 saat)

Pelajar A :" Cikgu, jawapannya ialah 5280."

Pelajar-pelajar lain :

"Cepatnya engkau kira! Betul tak jawapan anda itu?"

Guru :"Boleh anda tunjukkan penyelesaiannya? "

Pelajar A :"Boleh! " (Lihat penyelesaian berikut yang ditulis olehnya.)

240 x 22 = 4800 + 480

240 x 20 240 x 2

= 5280

Pelajar-pelajar lain :"Betullah jawapannya. Oh, macam ini rupanya!"


Dalam situasi ini, penyelesaian yang ditunjukkan oleh pelajar A adalah berlainan dengan yang lazim dilakukan oleh pelajar lain. Namun, pelajar A dapat merundingcarakan penyelesaiannya untuk diterima oleh kawan sebayanya dengan memgemukakan hujah-hujah yang logik untuk mempertahankan penyelesaiannya.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti di atas, seseorang itu (pelajar-pelajar lain) akan membina atau menyusun semula pengetahuan yang baru diperolehi dengan yang sedia ada dan membentuk pengetahuan yang baru. Proses komunikasi melalui interaksi sosial dalam pembelajaran matematik memerlukan pelajar membuat perundingan yang mana membolehkan pengetahuan matematik dibina dan perkembangkan dalam mindanya.

Mengikut Blumer (1969) dan Bauersfeld (1988), peluang-peluang bagi kanak-kanak membina pengetahuan matematik wujud apabila mereka berinteraksi dengan guru dan rakan sebayanya. Pembinaan matematik yang dihasilkan oleh kanak-kanak dikatakan bukan wujud secara tersendiri. Sebaliknya, pembinaan-pembinaan itu terkawal oleh kewajipan masing-masing untuk membentuk interpretasi yang boleh disesuaikan dengan pembinaan ahli dalam komuniti bilik darjah. Cobb (in press) (dalam Cobb, Wood & Yackel, 1990) pula mengatakan dalam komunikasi berciri matematik, makna-makna dirundingcarakan.

Peranan komunikasi melalui interaksi sosial dalam pembinaan dan memperkembangkan pengetahuan matematik pelajar juga dikemukakan oleh Davidson (1990) dalam menyatakan cara-cara bagaimana pembelajaran koperatif kumpulan kecil boleh membantu mengatasi masalah pelajar seperti perasaan kecewa, takut kepada matematik, mengelak matematik dan lain-lain lagi. Beliau mengatakan:

Kumpulan kecil dapat memberi sokongan sosial untuk mempelajari matematik, interaksi kumpulan boleh membantu semua ahli kumpulan mempelajari konsep-konsep dan strategi penyelesaian masalah, dalam memperbincangkan penyelesaian-penyelesaian yang dikemukakan pelajar boleh memujuk antara satu sama lain dengan argumen yang logik, pelajar-pelajar boleh memperbincangkan kelebihan penyelesaian-penyelesaian yang dikemukakan, pelajar-pelajar dalam kumpulan boleh bantu antara satu sama lain untuk menguasai fakta dan prosedur prosedur pengira yang perlu dalam konteks permainan, memahami masalah-masalah. seseorang itu belajar melalui dengan bercakap, mendengar, menerangkan, dan melakukan proses berfikir secara bersendirian dan juga bersama-sama orang lain, dalam kumpulan, pelajar-pelajar boleh mengatasi masalah yang mencabar yang mungkin di luar keupayaan individu. 

Maher & Alston (1990) juga membincangkan kepentingan interaksi sosial dengan mengatakan bahawa persekitaran baru diperlukan untuk mengadakan peluang membina struktur yang lebih kukuh. Mereka juga mengatakan situasi yang membolehkan guru-guru dan pelajar-pelajar memperluaskan pengetahuan mereka, dan berinteraksi dengan orang lain dalam proses perundingan sosial, mengenai fahaman yang diperoleh dari pengalaman tersebut, adalah diperlukan untuk perkembangan yang berterusan. Pendapat ini juga dapat diilustrasikan dalam contoh mengira jawapan bagi 240 x 22, di mana pelajar-pelajar lain mungkin dapat menggunakan cara pelajar A untuk situasi yang lain, atau bagi mereka yang lebih kreatif boleh menggunakan cara itu sebagai batu loncatan untuk menghasilkan cara yang lain.

Dalam proses berinteraksi dengan rakan sebaya dan guru, pelajar-pelajar akan membina pengetahuan baru dan memperkembangkan pengetahuan sedia ada, seperti yang dinyatakan oleh NCTM (1991:34),


"Students must talk, with one another as well as in response to the teacher...When students make public conjectures and reason with others about mathematics, ideas and knowledge are developed collaboratively, revealing mathematics as constructed by human beings within an intellectual community."


Komunikasi memainkan satu peranan yang penting dalam membantu kanak-kanak membina pengetahuan mereka. Melalui komunikasi, kanak-kanak membina pertalian antara fahaman tak formal dan intuitif dengan bahasa matematik iaitu tatatanda, simbol, persetujuan dan istilah matematik yang sering dikaitkan sebagai abstrak. Komunikasi memainkan peranan utama dalam membantu kanak-kanak menghubungkaitkan antara perwakilan idea matematik yang dalam bentuk fizikal, simbol, lisan, mental dan lain-lain lagi.