Saturday, 12 December 2015

TEKNIK PENYOALAN DALAM PENGAJARAN



Pengajaran yang melibatkan penyoalan akan lebih berkesan untuk mencapai objektif pembelajaran berbanding pengajaran tanpa penyoalan. Penyoalan yang dikemukakan untuk menarik tumpuan murid akan memberikan kesan kepada kefahaman murid.

            Biasanya, soalan yang dikemukakan adalah berkaitan dengan pembelajaran fakta. Penyoalan kepada murid-murid yang pintar sebelum menjurus kepada bahan pengajaran dan pembelajaran akan menarik minat murid terhadap perkara tersebut manakala penyoalan yang dibuat kepada murid lemah akan membantu murid menumpukan perhatian untuk menjawab soalan tersebut. Terdapat lima langkah untuk menggunakan teknik penyoalan iaitu:

1.         Mengajukan soalan kepada seluruh kelas.

Guru akan merancang soalan-soalan yang hendak dikemukakan. Soalan yang diajukan hendaklah sesuai dengan umur dan tahap keupayaan penguasaan murid. Soalan yang dikemukakan mungkin berada pada aras pengetahuan bagi murid tahun 1 tetapi bagi murid tahun 5, soalan yang diberikan lebih sesuai pada aras aplikasi. Semua murid akan diberi soalan yang sama supaya murid-murid dapat memikirkan jawapan yang sesuai. Bentuk soalan yang dikemukakan kepada murid hendaklah diubah dari semasa ke semasa. Contohnya, soalan boleh bermula dengan perkataan apakah, jika soalan itu hanya memerlukan jawapan yang objektif. Namun, pada masa yang lain pula, guru boleh memulakan soalan menggunakan perkataan bagaimana untuk mendapatkan jawapan yang lebih mendalam. Perlu diingatkan bahawa, soalan yang dikemukakan kepada murid-murid hendaklah jelas, ringkas dan tepat bagi menjamin kebolehpercayaannya.

2.         Beri masa berfikir yang sesuai. ( wait time )

Kajian terhadap strategi penyoalan menyatakan bahawa terdapat dua jenis ‘waktu menunggu’ ( wait time ). Pertama, waktu menunggu merujuk kepada jumlah masa yang diberikan kepada murid hingga murid mula untuk menjawab. Kedua, waktu menunggu merujuk kepada jumlah waktu menunggu selepas seorang murid berhenti bercakap dan mula bercakap. Biasanya guru akan memberikan tempoh tiga saat untuk murid berfikir sebelum menjawab. Ini akan menggalakkan murid menyusun idea mereka sebelum menjawab. Sekiranya murid terlalu didesak untuk menjawab, murid hanya akan menjawab tentang apa yang terlintas difikirannya sahaja.

3.         Pilih murid untuk menjawab.

Soalan yang ditujukan tidak hanya tertumpu kepada murid yang pintar sahaja. Guru juga perlu mengelakkan sikap menyoal murid mengikut tempat duduk mereka kerana murid-murid lain akan mengabaikan soalan guru dan tidak bersedia. Bagi memastikan murid-murid lain memberi tumpuan kepada jawapan yang diberikan oleh rakan, guru boleh memilih soalan yang mempunyai pelbagai jawapan supaya murid-murid lain tidak mengulangi jawapan yang sama. Ini akan menggalakkan murid berfikir secara kreatif dan kritis.

4.         Memberi reaksi yang bersesuaian kepada jawapan murid.

Berdasarkan jawapan yang diberikan oleh murid, guru perlu memberikan reaksi yang sesuai. Terdapat beberapa situasi jawapan murid yang memerlukan reaksi yang berbeza dari guru. Sekiranya jawapan yang diberikan memenuhi soalan yang diberikan, pujian perlu diberikan. Ini adalah untuk menggalakkan murid berusaha memberikan jawapan yang betul dan bernas. Namun, jika jawapan yang diberikan adalah kurang lengkap, guru boleh memberikan soalan-soalan lain yang dapat merangsang murid berfikir dan melengkapkan jawapan mereka. Guru boleh juga membuka peluang kepada murid-murid lain untuk membantu murid tersebut. Namun, sekiranya murid tidak mampu menjawab soalan tersebut, guru bolehlah memberikan soalan-soalan lain yang lebih rendah arasnya. Sekiranya soalan pertama yang tidak mampu dijawab berada pada aras aplikasi, guru boleh menukar soalan di bawah aras kefahaman sahaja.

5.         Beri penekanan atau membuat ringkasan  jawapan tepat yang boleh diterima.

Setelah memperolehi jawapan yang diingini dan menepati kehendak soalan, guru hendaklah memberi penekanan kepada murid. Sekiranya penjelasan diperlukan, guru perlulah menghuraikan semua atau hampir semua jawapan yang relevan supaya murid mengetahui bahawa kadangkala, jawapan yang mereka fikirkan juga boleh diterima. Soalan subjektif misalnya, dapat menggalakkan murid berfikir secara divergen. Adalah lebih baik jika guru menggalakkan murid melakar jawapan mereka, ini adalah supaya mereka mendapat gambaran yang lebih meluas dan mendalam. Seorang guru hendaklah mempunyai kemahiran atau teknik penyoalan yang baik. Ini di sebabkan oleh teknik penyoalan yang baik dapat merangsang murid berfikir secara kreatif dan kritis.



No comments:

Post a Comment