KE ARAH PROSES PENGAJARAN BERKESAN
Arus perkembangan semasa menuntut kepada perubahan dari segenap aspek mahupun lapangan kehidupan umum. Perubahan positif merupakan anjakan yang perlu dihasilkan bagi mewujudkan kedinamikan untuk menghadapi cabaran-cabaran baru seiring perkembangan semasa. Justeru, pendidikan masakini perlu kepada pembaharuan bagi merealisasikan proses pembentukan dan pengembangan potensi diri yang patut disalurkan kepada para pelajar. Bagi tujuan tersebut penelitian terhadap aspek pengajaran khususnya dalam bilik darjah menjadi asas pencapaian kecemerlangan akademik buat para pelajar.
Dalam pendidikan formal, proses pengajaran menjadi elemen terpenting bagi mencapai keberkesanan isi pelajaran yang disampaikan. Proses pengajaran berkesan akan hanya dicapai menerusi pendekatan, kaedah dan teknik yang bersesuaian oleh seorang guru untuk mencapai objektif pengajarannya terhadap isi pelajaran yang disampaikan. Hal ini melibatkan kemahiran serta penguasaan penuh guru terhadap pelajaran yang disampaikan. Persediaan mantap berkaitan kemahiran dalam proses pengajaran oleh seorang guru membolehkannya menjalankan proses P&P dengan penuh keyakinan dan semangat tinggi. Dengan demikian, guru akan dapat memberikan sepenuh komitmen dan kesungguhan yang tinggi untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada para pelajar.
Sharifah Alwiah Alsagoff (1983) menyatakan bahawa pengajaran yang berkesan adalah merujuk kepada guru yang dapat membawa pelajar kepada hasil pembelajaran terakhir yang diinginkannya. Hal ini melibatkan corak pengajaran bersturktur dari segi organisasi bilik darjah serta mementingkan isi pelajaran. Selain itu, ia juga merujuk kepada perihal pengajaran guru yang lebih memusatkan kepada para pelajarnya sehingga mereka tertarik mengikuti aktiviti pembelajaran. Oleh itu, pembentukan proses pengajaran berkesan mempunyai nilai yang berbeza-beza namun ia masih bermatlamat untuk melihat hasil daripada isi pelajaran yang disampaikan.
Mewujudkan proses pengajaran yang berkesan memerlukan kepada komitmen guru sepenuhnya. Ia melibatkan perancangan dan strategi serta kemahiran guru yang padu dalam mengorganisasi proses P&P bilik darjah. Langkah awal dalam membentuk satu proses pengajaran yang berkesan adalah dengan menilai pertindanan domain kognitif, afektif dan psikomotor yang menjadi dasar objektif proses P&P. Guru seharusnya memerlukan segala persediaan yang rapi meliputi pengetahuan dan kemahiran penyampaian isi pelajaran agar membuka minda dan minat pelajar. Dengan itu, terbentuklah suasana pembelajaran yang melibatkan tindak balas positif dan tingkah laku aktif para pelajar. Selain itu, interaksi sosial guru dan pelajar merupakan sebahagian daripada beberapa faktor ke arah keberkesanan pengajaran.
Hubungan dua hala (guru-pelajar) yang baik perlu diwujudkan oleh setiap guru agar masalah berkaitan pelajar dapat diselesaikan seterusnya para pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap proses P&P. Adalah menjadi keutamaan dalam proses pengajaran untuk mengelakkan daripada berlakunya penyertaan pasif dikalangan pelajar disebabkan kurangnya perhatian dan fokus serta ketidakselesaan mereka semasa mengikuti proses P&P. justeru, guru berperanan memberikan motivasi agar para pelajar dapat mengikuti segala maklumat pengetahuan yang disampaikan sepenuhnya. Penggunaan bahan-bahan pengajaran yang bersesuaian dengan kandungan pelajaran turut menyumbang kepada keberkesanan proses pengajaran.
Menurut Atan Long (1982) bahawa sesuatu alat penyampaian terutama alat yang baru bagi pengalaman pelajar akan dapat menimbulkan minat dan seterusnya menggerakkan pelajar-pelajar untuk belajar. Sehubungan itu, penyediaan bahan pengajaran yang bertepatan dengan isi pelajaran akan membawa dimensi baru dalam pembelajaran para pelajar bagi meningkatkan lagi kefahaman mereka. Seiring perkembangan semasa, proses pengajaran memerlukan satu usaha yang dapat menjana perkembangan proses pembelajaran pelajar. Kedinamikan proses pengajaran melalui daya kreativiti mahupun penggunaan teknologi masakini menjadi asas ke arah melahirkan amalan proses pengajaran berkesan. Seterusnya hal ini akan menjadikan proses P&P di sekolah dapat memberi sumbangan sepenuhnya kepada pencapaian kecemerlangan para pelajar serta memperkasakan lagi sistem pendidikan sedia ada.
PENGGUNAAN TEKNOLOGI KOMPUTER DALAM PENGAJARAN
Pendidikan masa kini berkembang seiring dengan kepesatan sains dan teknologi. Kelahiran bidang teknologi maklumat (ICT) melalui sistem pengkomputeran sebagai wadah baru era globalisasi telah mempertingkat usaha penyebaran ilmu kepada generasi baru dan masyarakat umum di seantero dunia. Melalui kepesatan dan perkembangan bidang pengkomputeran, aliran akademik semasa juga turut melebarkan lagi gerbang ilmiahnya menerusi capaian kepantasan kuasa teknologi ini . Khususnya dalam bidang pendidikan, penggunaan teknologi pengkomputeraan dalam proses pengajaran sememangnya memberi implikasi baru yang lebih efektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sekaligus menyumbang kepada kelancaran dan kedinamikan dalam lapangan pendidikan.
Ledakan teknologi pengkomputeran dalam dunia pendidikan tidak dinafikan merupakan sebahagian daripada faktor yang turut menyumbang ke arah kemajuan dan prestasi di kalangan guru dan pelajar. Penggunaan teknologi komputer dalam bidang pendidikan dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu sebagai alat pentadbiran, alat penyelidikan dan media pengajaran-pembelajaran (V. Pang, Y.K Yap dan Y.M. Tam, 1992). Jelas bahawa penggunaan komputer secara meluas telah memudahkan kerja-kerja mentadbir dan mengurus bahkan sebagai instrumen yang dapat membantu ke arah mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran berkesan.
Proses pengajaran dengan mengaplikasikan teknologi komputer seperti power point, internet, online, website dan sebagainya dapat membantu para guru untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran disamping dapat membantu mempertingkatkan keberkesanan pembelajaran sekiranya ia dilaksanakan dengan teliti dan terancang . justeru, kebolehan guru dalam mengaplikasikan teknologi ini akan memberi nafas baru terhadap proses pembelajaran pelajar yang akan meningkatkan dan meluaskan pemerolehan ilmu pengetahauan dikalangan mereka. Kecenderungan penggunaan teknologi penkomputeran dalam pendidikan telah mewujudakan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PBK). Ia juga dikenali sebagai Computer Aided Instruction (CAI). Sistem ini telah mewujudkan inovasi dalam proses P&P dikalangan guru dan pelajar. Pengajaran berasaskan sistem ini adalah dalam bentuk tutorial elektronik, latih tubi, simulasi dan penilaian pengetahuan pelajar seperti kuiz dan sebagainya. Pembentukan sistem pembelajaran seperti ini melibatkan perkakasan-perkakasan teknologi komputer seperti bahan kursus dan perisian.
Bahan kursus adalah hasil dariapada perancangan isi dan strategi PBK berdasarkan objektif pengajaran dan kumpulan sasaran yang telah dipindahkan (diprogramkan) dalam bentuk yang dapat difahami komputer. Manakala perisian pula adalah sesuatu aturcara yang mengandungi arahan-arahan untuk melaksanakan sesuatu tugasan pada komputer berdasarkan permintaan pengguna. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Yusri Mat Johor (2004) mendapati 92.5% daripada 40 orang guru sejarah di 12 buah sekolah menengah dalam daerah Bentong, Pahang bersetuju bahawa penggunaan komputer dapat meningkatkan minat pelajar terhadap pengajaran sejarah. Hal ini menunjukkan peggunaan komputer bukan sahaja berdasarkan kelebihan internet, malahan dalam proses pengajaran yang menggunakan aplikasi teknologi komputer dapat menggabungkan elemen-elemen teks, grafik/visual, audio, video dan animasi untuk membolehkan proses pengajaran menjadi lebih kreatif dan hidup. Di samping itu, terdapat juga sistem yang melibatkan penggunaan teknologi komputer dalam proses pengajaran.
Pembelajaran Diuruskan Komputer (PDK) atau Computer Managed Instruction (CMI) berperanan dalam menguruskan hal-hal pengajaran. Ini merujuk kepada penggunaan komputer yang membantu guru memainkan peranan sebagai pengurus pengajaran dan pembelajaran. Dengan kata lain, komputer bertindak dalam mengawal (monitors) pembelajaran dan kemajuan pelajar dengan mentadbirkan pelajaran serta ujian berasaskan komputer, menyimpan rekod pencapaian dan menjanakan laporan prestasi mereka untuk rujukan guru dan pelajar itu sendiri. Oleh itu, sistem ini telah memberi kemudahan dalam mengorganisasi pengurusan pelajar seterusnya menjadikan proses P&P lebih sistematik dan efisien.
Kepesatan dan perkembangan teknologi komputer menerusi jaringan tanpa sempadan (internet) juga memberi manfaat bagi menambahkan lagi sumber-sumber maklumat pengetahuan. Menerusi teknologi jalur lebar ini pelbagai disiplin ilmu telah dimuatkan untuk memudahkan pengaksesaan di merata tempat. Secara langsung, para guru yang dapat mengaplikasikan kemudahan ini akan dapat memperkenalkan pelajar-pelajarnya menerokai maklumat-maklumat terkini yand dapat diterapkan dalam isi pelajaran yang ingin disampaikan. Kemajuan teknologi komputer pada era kini sebagai wahana proses P&P dapat mempertingkatkan dan memperkembang proses pengajaran yang berkesan ke arah membentuk generasi celik minda dan penguasaan terhadap kandungan pelajaran.
MASALAH-MASALAH BERKAITAN PENGGUNAAN KOMPUTER DALAM
PENGAJARAN
Penggunaan teknologi komputer dalam proses pengajaran sememangnya mendatangkan banyak manfaat bagi proses pembelajaran pelajar. Namun disebalik itu, tidak dinafikan wujudnya masalah-masalah yang menjadi kekangan bagi memanipulasikan akan adanya kemudahan ini. Yusri Mat Johor (2004) mengemukakan masalah penggunaan komputer di sekolah yang masih pada tahap kritikal dan sukar untuk diatasi adalah seperti berikut:
1) Bilangan komputer
Bilangan peruntukan komputer yang disalurkan bagi sesebuah sekolah masih tidak mencukupi untuk memaksimumkan penggunaan komputer sebagai medium pengajaran bagi para pelajar.
2) Kos pembelian dan pengurusan komputer
Berkaitan hal ini, kos yang tinggi untuk mendapatkan komputer dan kerja-kerja pengurusan yang melibatkan kemahiran tertentu menjadi faktor penghalang bagi menjayakan penggunaan teknologi komputer sepenuhnya dalam proses pengajaran. Oleh itu, adalah lebih baik kos yang sedia ada dipergunakan untuk tujuan lain yang dapat menambah baik kemudahan sekolah bagi memberi keselesaan bagi para guru dan pelajar.
3) Keberkesanan penggunaan komputer
Keberkesanan penggunaan komputer dalam proses pengajaran sememangnya menjadi kemudahan bagi para guru dan pelajar. Namun, hal ini memerlukan penguasaan guru terhadap segala aplikasi komputer untuk dimuatkan dalam menghasilkan sesuatu proses pengajaran. Sekiranya, bahan yang dihasilkan menerusi komputer tidak dapat menarik para pelajar untuk mengikuti isi pelajaran maka segala usaha guru dianggap tidak berbaloi bahkan menyebabkan pembaziran masa.
4) Kemahiran guru dalam mengendalikan komputer
Penggunaan komputer memerlukan kemahiran untuk mengendalikannya. Justeru, bagi mengaplikasikan teknologi ini dalam proses pengajaran menuntut kepada kemahiran daripada guru itu sendiri. Tegasnya, hanya terdapat sebilangan kecil sahaja di kalangan para guru yang dapat mengendalikan dan menguasai aplikasi komputer ini sepenuhnya. Oleh itu, kurangnya kemahiran yang dimiliki oleh para guru gagal memberi manfaat penuh kepada proses pengajaran yang melibatkan penggunaan komputer. Tegasnya, penggunaan teknologi pengkomputeran dalam proses pengajaran bukanalah suatu yang mudah untuk dilaksanakan walaupun ia dilihat berpotensi dalam mempertingkatkan lagi proses P&P. sehubungan itu, kebergantungan sepenuhnya dengan teknologi ini perlu dinilai dengan sewajarnya agar semua kelompok dalam sistem pendidikan mendapat manfaat yang sama sekaligus mengurangkan jurang pengetahuan di antara para pelajar bandar dan luar bandar.
KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN TRADISIONAL
Menjadikan proses pembelajaran berkesan dalam setiap sesi pengajaran isi pelajaran menjadi fokus utama bagi setiap pendidik. Suasana pembelajaran yang dilatari keceriaan dan keharmonian proses pengajaran menjadi pemangkin ke arah mencapai objektif pelajaran yang telah dirancangkan. Sehubungan itu, guru sebagai individu persuatif kepada pelajar memainkan peranan penting bagi mewujudkan suatu bentuk proses P&P yang mampu memberi daya tarikan di kalangan para pelajar. Tegasnya, kemahiran dalam proses pengajaran oleh seorang guru yang ditunjangi daya kreativiti menjadi asas utama berhubung isu ini. Kreativiti dapat difahami sebagai sesuatu yang dibuat dan dihasilkan oleh individu-individu kreatif dengan menggunakan daya imaginasi dan pemikiran mereka untuk menghasilkan sesuatu yang baru, kreatif dan berguna bagi manusia (Jauhara Hj. Tak, 1995). Hal ini merujuk kepada kebolehan serta kemahiran yang dapat dimanipulasi untuk menghasilkan sesuatu yang asli, bermutu dan berkualiti tinggi. Oleh itu, penghasilan satu bentuk pengajaran melalui daya kreativiti disifatkan sebagai satu wadah pembelajaran yang memberi kesan ke atas satu-satu isi pelajaran. Justeru, adanya daya kreativiti bagi seorang guru yang dapat disesuaikan dengan proses pengajarannya akan menghidupkan lagi suasana dan meransang penyertaan pelajar dalam aktiviti pembelajaran.
From (1959) mengemukakan berkenaan individu kreatif sebagai seorang yang selalu melihat kepada yang baru. Oleh itu , individu seperti ini akan memperlihatkan sifat kedinamikan dalam setiap tingkah laku dan juga pemikirannya. Dalam konteks keguruan kreativiti berperanan sebagai momentum yang akan menghasilkan satu proses pengajaran berkesan seterusnya menjadi asas ke arah merealisasikan kecemerlangan akademik pelajar. Sementara itu, Robiah Sidin dan Hassan Langgulung (1980) mengemukakan Kreativiti bagi seorang guru merupakan elemen yang dapat dipergunakan untuk menghasilkan satu bentuk pengajaran dinamik. Para guru yang memiliki daya kreatif seringkali mendatangkan banyak idea baru selain dapat mengatasi masalah dengan menggunakan bahan-bahan serta situasi-situasi tertentu dengan cara luar biasa. Jelaslah bahawa sekiranya daya kreativiti ini dapat dijelmakan dalam proses pengajaran oleh seorang guru maka proses pembelajaran pelajar-pelajarnya akan mendapat limpahan maklumat pengetahuan maksimum.
Kemantapan proses pengajaran menerusi adunan kaedah, teknik dan pendekatan kreatif oleh seorang guru menjanjikan suatu proses pembelajaran yang menarik minat pelajar dalam mengikuti isi pelajaran yang disampaikan oleh guru tersebut. Seterusnya, kreativiti guru yang mewarnai proses pengajarannya akan menjadikan suasana pembelajaran yang kondusif selain membuka ruang untuk pelajar dalam memahami sepenuhnya isi pelajaran yang disampaikan dan sentiasa mengingati terhadap apa yang telah mereka pelajari itu. Malahan kreativiti guru tersebut juga secara langsung menanam nilai murni kepada pelajar supaya melahirkan sesuatu yang berinovasi dalam pemikiran mereka. Di samping itu, penghasilan proses pengajaran berkesan juga meliputi hubungan dua hala antara guru dan murid. Bagi menjamin kelangsungan setiap isi pelajaran yang disampaikan hubungan ini akan merangsang tindak balas (respons) daripada kedua-dua pihak.
Perhubungan guru dan pelajar terutamanya dalam bilik darjah berperanan sebagai medium yang menghubungkan isi pelajaran supaya ia dapat diterima sepenuhnya oleh para pelajar. Sehubungan itu, kemahiran berkomunikasi guru yang melibatkan gabungan kreativiti dapat mewujudkan suatu suasana yang dapat mempengaruhi minda dan respons pelajarnya. Selain itu, Komunikasi yang baik diantara guru dan pelajar akan mewujudkan kemesraan yang memberi kesenangan dalam proses pembelajaran sekaligus memberi input pengetahuan bermanfaat bagi para pelajar. Justeru, guru sewajarnya memberi penekanan terhadap hal ini agar dapat menyumbang ke arah proses pendidikan melalui peningkatan dan perkembangan hubungan sosial positif terhadap setiap anak didiknya.
Kereativiti dalam proses pengajaran juga melibatkan teknik atau kaedah yang digunakan oleh seorang guru terhadap penyampaian kandungan pelajarannya. Kemahiran yang ada dalam menguruskan hal-hal ini akan menjana kemajuan dan prestasi pelajar ke arah membentuk kefahaman mereka. Abd Ghafar Md. Din (2003) menyatakan hal ini bergantung kepada beberapa faktor yang melibatkan masa pengajaran, jumlah pelajar, bahan pengajaran dan lain-lain lagi. Menurut beliau lagi, dengan menggunakan pelbagai kaedah pengajaran atau teknik pelajar tidak akan berasa bosan. Oleh demikian, teknik atau kaedah pengajaran yang bersesuaian akan menjadikan pengajaran guru lebih menarik dan berkesan. Oleh itu, ia melibatkan kemahiran dan idea-idea kreatif seorang guru bagi menguruskan halhal ini. Dalam proses pengajaran ia melibatkan gabung jalin isi pelajaran dan aktiviti pelajar.
Bagi mencapai matlamat pengajaran sekaligus menjamin keberkesanannya ia haruslah memberi fokus kepada kecenderungan pelajar. Ini melibatkan kebebasan memilih pendekatan serta teknik P&P mengikut kemampuan pelajar agar dapat memberi sepenuh perhatian. Dengan demikian, daya kreativiti guru menjadi asas dalam mencorakkan proses pengajaran supaya dapat mewujudkan keceriaan pelajar menerusi aktiviti-aktiviti pengajaran seperti melakukan eksperimen, demonstrasi, lakonan dan sebagainya yang memperlihatkan perkara-perkara praktikal. Selain itu, kreativiti guru dapat diwujudkan dalam menyampaikan isi pelajaran semasa proses P&P dengan mengaitkannya dengan isu-isu semasa yang menjadi sumber maklumat tambahan kepada para pelajar.
Penerangan isi pelajaran dengan perkaitan sumber maklumat semasa akan mencambahkan minda dan pengetahuan sedia ada pelajar. Seterusnya hal ini akan membentuk kefahaman maksimum dan penerapan ilmu serta mendedahkan mereka kepada realiti dunia semasa. Misalnya, dalam matapelajaran sains yang membincangkan berkenaan biologi, guru dapat mengaitkan konsep biologi tersebut dengan teknologi pengklonan yang telah dijalankan oleh beberapa negara maju di dunia dan menimbulkan pelbagai perspektif masyarakat. Secara tidak langsung perkaitan seperti ini akan menjadikan para pelajar terus menerokai secara mendalam lagi berkenaan isi pelajaran yang disampaikan. Tuntasnya, kemahiran dan kebolehan para guru dalam mengendali setiap proses P&P bergantung kepada keupayaan kreativiti mereka dalam mempelbagaikan corak penyampain isi pelajaran. Justeru, proses pengajaran sedemikian akan menjadikan pelajar dapat mengikuti setiap isi pelajaran yang disampaikan serta dapat menguasai pemikiran mereka supaya dapat memberi sepenuh perhatian semasa proses P&P dilaksanakan.
No comments:
Post a Comment